NOH tak sangka album pakej semula Angin Kencang dengan tiga lagu baru dapat sokongan peminat.
NOH tak sangka album pakej semula Angin Kencang dengan tiga lagu baru dapat sokongan peminat.
Ardini Sophia Sina


Bermula dengan syok sendiri kemudian direalisasikan, Noh Salleh, 32, tidak menyangka album pakej semula Angin Kencang yang memuatkan tiga lagu baru mendapat sokongan peminat.

Untuk promosinya, Noh atau Mohammad Noh Salleh mengadakan konsert jelajah di beberapa lokasi yang berakhir bulan lalu.

Membawa jenama Noh Salleh, auranya menarik peminat untuk datang menonton persembahannya di Johor Bahru, Melaka, Pulau Pinang dan berakhir di Ipoh bulan lalu.

Vokalis kumpulan Hujan itu sama sekali tidak menyangka projek solo itu mendapat perhatian sebegitu. Dia gembira dan bersyukur kerana selepas sekian lama sepi tanpa lagu baru, peminat masih memberikan sokongan.

Kata Noh, ramai yang datang untuk mendapatkan album pakej semula Angin Kencang dengan memuatkan tiga lagu baru iaitu Renjana, Mr Polia dan Kelahiran Sarawak.

Bagaimanapun tegas penyanyi kelahiran Miri, Sarawak itu, konsert jelajahnya itu bukan bermakna dia tidak lagi bersama Hujan.

“Dalam muzik, Hujan masih keutamaan saya. Projek solo ini saya sifatkan sebagai syok sendiri dan sekadar suka-suka. Hujan masih ada dan kini sibuk mengumpul material baru.

“Dari dulu lagi saya suka melakukan aktiviti seperti ini. Saya bukanlah orang yang meletakkan tempoh dalam setiap perkara yang saya lakukan. Kalau ada ‘mood’ dan saya rasa mahu buat, saya akan lakukan.

“Hujan mungkin bergerak perlahan untuk hasilkan album baru. Dalam hidup, masing-masing ada keluarga yang perlu didahulukan.

“Mungkin Hujan akan keluar dengan produk baru pada Januari atau selewat-lewatnya Mac tahun hadapan,” katanya.

Tidak hanya di Malaysia, Noh turut membawa namanya di Jakarta, Indonesia. Siapa sangka dia berjaya meraih perhatian dan turut mengadakan promosi album di sana pada Ogos lalu.

Noh positif ada ruang untuk terus berkarya di negara jiran. Tambah pula tidak ramai penyanyi Malaysia yang membawa lagu genre retro pop untuk diketengahkan.

Kata Noh, Angin Kencang sebenarnya untuk pasaran Indonesia. Bagaimanapun, atas nasihat syarikat pengedar dan permintaan peminat, Noh akhirnya memutuskan untuk memasarkan album berkenaan di Malaysia.

“Album itu sudah saya terbitkan pada 2014. Ia dipakejkan semula untuk pasaran Indonesia dengan menyelitkan tiga lagu baru. Tetapi pihak Warner Music mencadangkan agar ia juga diedarkan di Malaysia.

“Ada juga peminat yang minta ia dipasarkan di sini. Timbul rasa bimbang ia tidak mendapat sambutan tetapi apabila ada permintaan seperti itu, ia bermakna masih ada segelintir yang membeli album sebagai simpanan peribadi,” katanya.

Dikenali dengan sikap spontan, Noh akui dia memang sedia mengikut arus dan kumpulan Hujan cukup jelas menggambarkan personaliti sebenarnya.

Sama ada solo mahupun bersama kumpulan, kedua-duanya mempunyai keseronokan berbeza. Namun, dia lebih selesa ketika mengadakan persembahan bersama Hujan.

“Tidak ada yang boleh lawan energi Hujan ketika membuat persembahan. Apabila sampai ke bahagian korus, saya pandang pemain dram dan bagi ‘que’ pada pemain gitar untuk melompat bersama-sama. Itu adalah satu perkara yang sangat menyeronokkan.

“Buat persembahan dengan Hujan adalah yang terbaik. Keserasian dan persefahaman serta tujuan kami untuk memberi kepuasan kepada penonton tidak ada yang boleh lawan,” katanya.

Noh rasa rendah diri

Lebih 10 tahun dalam industri, Noh tidak meletakkan dirinya sebagai penyanyi berpengalaman. Turun padang mengadakan persembahan bagi tujuan promosi baginya bukan satu masalah dan ia mengembalikan nostalgianya pada 2005.

Vokalis dan juga pemain gitar kumpulan Hujan ini terfikir keadaan dirinya pada awal kemunculan ketika masih ramai yang tidak mengenalinya.

Memulakan kerjaya awal sebagai penyanyi hip hop bersama kumpulan Mix dianggotai Asyraf Hardy, Mc Wayne dan Ogie pada 2004 hingga 2006 kemudian muncul dengan Hujan, sehingga ke hari ini, Noh tidak merasakan dirinya popular seperti penyanyi lain.

“Ada apa dengan 10 tahun? Saya masih berasakan diri saya bukanlah seorang penyanyi berbakat. Saya lebih suka menganggap kejayaan yang saya kecapi itu sebab bernasib baik dan rezeki daripada Allah.

“Saya sebenarnya kagum dengan penyanyi profesional yang bersuara lantang. Pernah saya buat persembahan di Bintulu berkongsi pentas dengan Daus AF, Ara Johari dan Salma Mentor, saya rasa rendah diri. Vokal mereka sangat mengagumkan.

“Mungkin orang cakap saya sudah lama dan lebih bagus tapi itu pandangan mereka. Sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat mencapai tahap keyakinan sama seperti orang lain. Saya tidak boleh tarik kejayaan Hujan untuk kebanggaan diri sendiri. Semuanya rezeki Allah,” katanya.

Bersama Hujan, Noh menghasilkan lima album bermula dengan Hujan pada 2008 kemudian Mencari Konklusi (2009), Lonely Soldier Boy (2010), Sang Enemy (2012) dan Jika Sempat (2016).

Kehidupan peribadi Noh juga jadi perhatian apabila berkahwin dengan Mizz Nina atau Shazrina Azman pada 1 Julai 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 6:04 AM