HISYAM ambil pendekatan tidak layan dan anggap gurauan.
HISYAM ambil pendekatan tidak layan dan anggap gurauan.
Sudirman Mohd Tahir


Selepas empat tahun menceburi bidang lakonan di Malaysia, nama pelakon Singapura, Hisyam Hamid bukanlah asing dalam kalangan peminat drama tempatan.

Apatah lagi populariti diterima selepas membintangi drama Ariana Rose pada 2013 berjaya meyakinkan stesen TV dan syarikat produksi untuk menawarkannya watak utama.

Satu persatu drama lakonan Hisyam, 32, berjaya membuatkan peminat jatuh cinta dengan personaliti dan imejnya.

Malah, pada satu tahap ramai beranggapan pelakon drama Abang Bomba I Love You ini belum berkahwin.

Bagaimanapun, Hisyam yang juga bapa kepada dua anak ini menyifatkan ia satu pujian dan tidak pernah sesekali cuba mengambil kesempatan.

“Selalu orang bertanya saya mengenai perkara ini sedangkan di laman sosial saya kerap berkongsi foto keluarga. Saya tidak pernah terdetik pun untuk menyorok status perkahwinan. Sebaliknya, saya selesa berkongsi status sebenar.

“Saya bangga sudah berkahwin dan mempunyai keluarga bahagia. Saya perlu bersikap jujur dan berfikir tidak ada apa yang perlu disembunyikan.

“Mungkin nampak awet muda membuatkan segelintir pihak beranggapan saya belum berkahwin. Bagaimanapun, saya tidak pernah ambil hati dan terimanya sebagai satu pujian,” katanya.

Walaupun sudah menjelaskan perkara itu, Hisyam mengakui masih menerima banyak kiriman mesej yang ingin berkenalan dan menawarkan diri menjadi kekasih dan isteri kedua.

Namun, menyedari kedudukan sebenar dirinya, Hisyam mengambil pendekatan untuk tidak melayan setiap mesej berkenaan.

“Setiap kali berkongsi gambar bersama isteri dan anak, saya berharap peminat faham. Malangnya, masih ada yang tidak tahu. Saya tidak marah dengan tindakan mereka kerana bukan semuanya yang mengikuti perkembangan saya.

“Setiap mesej yang dihantar saya tidak layan dan balas. Saya tidak mahu ia berlanjutan yang akhirnya mengundang masalah lain. Kalau ada yang menulis di ruangan komen, saya menganggap ia gurauan,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Hisyam mendedahkan dia turut menerima kiriman gambar lucah daripada peminat wanita dan lelaki.

“Saya terkejut dengan keberanian mereka melakukan perkara sedemikian. Kalau setakat mesej, mungkin saya boleh terima, tetapi ini membabitkan gambar tidak senonoh.

“Setiap apa yang saya terima, isteri orang pertama yang tahu. Dia hanya mampu tergelak. Macam yang dikatakan, saya tidak perlu membalasnya.

“Saya menganggap mereka sebagai fanatik. Saya percaya mereka juga seperti peminat lain yang masih memberikan sokongan kepada kerjaya saya. Cuma, saya hanya sekat akaun seseorang sekiranya dia menghina dan memaki keluarga,” katanya.

Bukan kaki bodek

Perkembangan Hisyam dalam industri hiburan tempatan dapat dilihat dari setiap watak yang dilakonkan. Kepercayaan diberikan kepadanya tidak dipersia-siakan.

Apa yang dipamer Hisyam adalah berkat usaha dan kerja keras sendiri. Dia seboleh-bolehnya menghindari sikap mengampu atau kaki kipas untuk kepentingan diri sendiri.

“Tidak dinafikan terdapat segelintir artis yang bersikap sedemikian. Malah ada yang sanggup menutup periuk nasi orang lain. Namun, itu bukan cara saya dan tidak percaya ia boleh membawa kejayaan.

“Saya lebih suka menunjukkan kepada penerbit, pengarah dan stesen TV mengenai cara serta disiplin dalam bekerja. Apabila orang melihat komitmen diberikan, sudah pasti ia membuka mata pihak lain. Tidak perlu bersusah payah mengampu semata-mata nak mendapatkan satu tawaran.

“Prinsip saya mudah iaitu tawaran diberikan kerana layak untuk projek berkenaan dan bukan sebaliknya. Paling penting, saya sentiasa percaya kepada rezeki Allah,” katanya.

Lebar sayap ke Indonesia

Berkongsi mengenai kerjaya lakonannya, Hisyam baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Do(s)a di Jakarta, Indonesia.

Menariknya, drama yang bakal ditayangkan pada Disember ini menggabungkan pelakon tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Antara pelakon terbabit ialah Datuk M Nasir, Remy Ishak, Ashraf Sinclair, Cecep Aruf Rahman dan Shenty Feliziana.

“Saya bangga apabila dipilih terbabit dalam drama ini. Bagi saya, ia satu peluang keemasan. Bukan mudah nak berlakon di Indonesia terutama bekerja dengan pengarah dan kru produksi di sana.

“Saya berharap kerjasama ini menjadi pembuka jalan untuk mengembangkan bakat lakonan di sana pula. Malah memang menjadi impian saya selama ini untuk melebarkan sayap ke negara lain juga,” katanya.

Pada masa sama, Hisyam menafikan pemilihannya dalam drama ini kerana memiliki paras rupa dan personaliti menarik.

“Apa saya perasan, industri perfileman dan drama di sana berbeza. Bagi drama, mungkin mereka mementingkan paras rupa. Sebaliknya, dalam filem bakat dan kualiti menjadi keutamaan.

“Jadi, kalau nak kata mereka memilih saya atas faktor itu, ia mustahil. Saya percaya ini rezeki. Sekiranya selepas ini dapat tawaran berlakon di sana lagi, saya sedia untuk mencuba. Peluang tidak datang selalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 3:32 AM