Muhamad Khairul Syamril Sauffi, 13, yang maut dihempap pokok kelapa sawit ketika mengambil makanan kenduri arwah. - Foto Ihsan PDRM
Muhamad Khairul Syamril Sauffi, 13, yang maut dihempap pokok kelapa sawit ketika mengambil makanan kenduri arwah. - Foto Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


REMAJA lelaki maut dihempap pokok kelapa sawit yang tumbang ketika dia sedang mengambil makanan di bawah khemah majlis kenduri arwah yang dihadiri bersama keluarganya di Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah, Perak, semalam.

Dalam kejadian 2.25 petang itu, Muhamad Khairul Syamril Sauffi, 13, parah dihempap pokok berkenaan, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Ulu Dedap namun disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa yang tinggal di kampung berkenaan dipercayai menghadiri majlis kenduri berkenaan bersama keluarganya.

Menurutnya, pokok berkenaan dipercayai tiba-tiba tumbang menghempap khemah ketika mangsa sedang mengambil makanan di bawah khemah berkenaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan punca kematian disahkan akibat cedera parah di kepala.

"Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 4:07 PM