GAMBAR adalah ihsan APM
GAMBAR adalah ihsan APM
Muhaamad Hafis Nawawi


JUMLAH mangsa banjir di Kedah naik kepada 1,104 orang membabitkan 259 keluarga, awal hari ini.

Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kapten (PA), Saifuddin Abdullah, berkata 669 orang membabitkan 149 keluarga dipindahkan semalam.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu semakin meningkat hari ini.

Menurutnya, 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka sehingga kira-kira 10 pagi ini.

Di Kuala Muda, tiga PPS dibuka iaitu PPS SK Bukit Kechil seramai 390 mangsa membabitkan 83 keluarga, PPS Dewan Kampung Jilid 8 seramai 44 orang terdiri 12 keluarga dan PPS Dewan Kampung Sungai Pial seramai 112 orang terdiri 25 keluarga.

Di daerah Kota Setar lima PPS dibuka iaitu PPS Dewan Kampung Balai seramai 20 orang membabitkan empat keluarga, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah seramai 55 orang terdiri 14 keluarga dan PPS Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak seramai enam orang membabitkan satu keluarga.

Katanya, dua lagi PPS di daerah Kota Setar adalah PPS Surau Assyakirin, Kepala Batas seramai 53 mangsa terdiri 14 keluarga dan PPS SK Alor Mengkudu seramai 26 orang membabitkan empat keluarga.

Bagi Kubang Pasu pula empat PPS dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun seramai 148 orang membabitkan 33 keluarga dan PPS Surau kampung Kubang Betong seramai 108 membabitkan 34 keluarga.

"PPS SK Kodiang Lama pula seramai 46 orang membabitkan 10 keluarga dan PPS Dewan Kampung Lahar membabitkan 43 orang terdiri lapan keluarga," katanya.

Beliau berkata, di daerah Pendang pula satu PPS dibuka iaitu PPS Dewan Cenderawasih seramai 41 orang dan 13 keluarga manakala di Pokok Sena PPS SK Bukit Hijau seramai 12 orang membabitkan empat keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 11:47 AM