Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Harun Yahya


DUA beranak didakwa di Mahkamah Sesyen Sibu, hari ini, atas kesalahan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga cucu dan anak saudara mereka di Sungai Durin, Sibu.

Tertuduh berusia 53 tahun dan anaknya berusia 25 tahun itu didakwa melakukan secara berasingan kesalahan itu antara Mei hingga Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, datuk mangsa didakwa melakukan empat sentuhan pada kemaluan cucunya itu dengan tujuan seksual dalam beberapa kejadian berasingan antara Mei hingga Ogos lalu.

Sementara itu ayah saudara mangsa pula didakwa atas empat pertuduhan pada tempoh masa yang sama selain satu pertuduhan menunjukkan video lucah kepada anak saudaranya.

Kedua-dua tertuduh yang tinggal bersama mangsa didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah bilik rumah panjang di Sungai Durin.

Dua beranak itu didakwa mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan menunjukkan video lucah, tertuduh mengikut Seksyen 15(e) dan Seksyen 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sekurang-kurangnya dua kali sebatan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Zulfadhli Tuah di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Rommie Ahmad Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan esok untuk sebutan semula kes.

Polis dalam satu kenyataan minggu lalu mendedahkan perbuatan keji dua beranak itu terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian kepada ibunya di Mukah sebelum satu laporan dibuat.

Datuk mangsa sebelum ini pernah dipenjara lapan tahun atas kesalahan merogol anaknya dan dibebaskan Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 4:25 PM