PASUKAN UiTM yang membangunkan Recycle Edible Garden di Masjid As Siddiq, Seri Iskandar.
PASUKAN UiTM yang membangunkan Recycle Edible Garden di Masjid As Siddiq, Seri Iskandar.
NUR Hanim menunjukkan barangan kitar semula dijadikan bekas untuk menanam pudina.
NUR Hanim menunjukkan barangan kitar semula dijadikan bekas untuk menanam pudina.
Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Memanfaatkan ruang di dalam kawasan masjid untuk kegunaan komuniti menjadi ilham sepasukan kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar membangunkan projek recycle edible garden di Masjid As Siddiq, Taman Seri Iskandar Perdana, di sini.

Taman itu dibangunkan dengan dengan 50 tanaman seperti serai, kunyit, pandan, limau kasturi, halia, cili padi, bunga telang, kubis, kacang botol dan kacang panjang yang hasilnya boleh memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Pensyarah Kanan Jabatan Seni Bina Landskap merangkap ketua projek, Nur Hanim Ilias berkata, taman itu projek komuniti universiti bersama kariah masjid dengan turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan.

Menurutnya, ia dibangunkan melalui dana Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di atas tanah berkeluasan 200 meter persegi di dalam kawasan masjid.

“Projek ini bermula dari 1 November tahun lalu dan bakal berakhir 31 Oktober ini dan selepas itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak masjid namun kami membantu mengikut keperluan.

“Dalam tempoh ini, pihak kami beri bimbingan, nasihat serta tunjuk ajar pengurusan taman yang lebih tepat,” katanya, di sini, semalam.

Nur Hanim berkata, mereka menggunakan kaedah tuaian hujan sebagai sumber air untuk siraman tanaman dan lebih menarik untuk menggalakkan kempen kitar semula, barang terpakai digunakan sebagai bekas tanaman di taman itu.

“Kami guna barang yang tidak digunakan lagi seperti botol sebagai pasu atau bekas tanaman untuk sayuran yang diubah suai mengikut kreativiti supaya lebih menarik.

“Kami pilih masjid kerana ini pusat utama di kawasan ini yang komunitinya aktif selain ada potensi dibangunkan,” katanya.

Menurutnya, usaha itu secara tidak langsung memberi idea kepada penduduk setempat melakukan perkara sama di pekarangan rumah dengan barangan terpakai.

“Tanaman di taman ini beberapa kali mengeluarkan hasil dan sesiapa saja komuniti di sini boleh ambil tanpa sebarang bayaran, cuma kami harap ia sentiasa terjaga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid As Siddiq Abdul Rahim Basri menyokong usaha pihak universiti yang memberi peluang komuniti setempat memanfaatkan hasil tanaman di situ.

“Ini juga membuktikan skop masjid lebih luas bukan sekadar tempat beribadah malah boleh dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah lain.

“Lebih menarik ia turut mengindahkan dan menghijaukan kawasan persekitaran masjid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 10:20 AM