BERNAMA

KEBAKARAN di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, hari ini dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Obaidat Mohamad hari ini berkata, litar pintas itu dipercayai berlaku di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.

Beliau berkata, perkara itu berkemungkinan berlaku kerana mayat-mayat pelajar dan guru tahfiz ditemukan di bahagian kiri dan kanan bilik asrama tingkat tersebut.

"Mereka dipercayai cuba menyelamatkan diri dari kawasan kebakaran di tengah bilik dan cuba menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap.

"Bagaimanapun, tingkap asrama tersebut dilengkapi jeriji menyukarkan mereka untuk keluar, tambahan pula hanya terdapat satu pintu sahaja untuk keluar dan masuk dari bilik asrama tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, semua 24 mayat yang ditemui di tingkat paling atas pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam keadaan rentung dan bertindih antara sama lain.

Amar Singh berkata, mayat ditemui​​​​​ di dua kawasan berasingan di tingkat yang menempatkan 36 pelajar di bangunan tiga tingkat itu.

"Siasatan mendapati keadaan 24 mayat rentung dan bertindih antara satu sama lain akibat kebakaran itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Amar Singh juga berkata, pusat tersebut hanya mempunyai satu pintu keluar masuk dan menyebabkan sebahagian penghuni terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.

Keadaan tingkap di madrasah berkenaan juga tidak mempunyai aspek keselamatan yang membolehkan ia digunakan untuk kecemasan.

Kebakaran dipercayai bermula di bahagian pintu masuk tersebut.

Amar Singh berkata, 14 pelajar dan empat guru yang sama menghuni di pusat berkenaan terselamat dalam kejadian itu.

Kesemua pelajar lelaki itu berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Katanya daripada 14 yang diselamatkan, enam mengalami kecederaan kritikal dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Semua mayat akan dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara untuk tujuan pengecaman oleh anggota keluarga dan bedah siasat.

Katanya polis juga sedang menyiasat dakwaan pusat tahfiz tersebut beroperasi tanpa permit.

Pusat tahfiz itu mempunyai 36 pelajar dan enam guru yang menginap di pusat tahfiz berkenaan.

Seramai 22 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Ujung, 5.15 pagi tadi.

Berita berkaitan

'Mahu tolong ibu ayah ke syurga Firdaus' [METROTV]

Nekad turun dengan tujuh rakan

'Tolong bang...tolong bang' [METROTV]

Ya Allah, 24 semuanya terkorban

Api menjulang ketika azan subuh

20 maut, 3 kritikal, 2 separa kritikal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 12:30 PM
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat serta anggota DBKL menyusun mayat mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO ihsan DBKL
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat serta anggota DBKL menyusun mayat mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO ihsan DBKL