IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


LIMA sekeluarga yang terperangkap dalam rumah akibat banjir kilat di Kampung Sungai Jai, Beranang, diselamatkan anggota bomba, tengah malam tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri, berkata bomba menerima panggilan pada 11.59 malam tadi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi anggota bomba mendapati ada dua lelaki dan lima wanita berada dalam rumah yang banjir.

"Pasukan bomba memasang tali dari kawasan tinggi ke rumah mangsa dan berjaya membawa keluar semua mangsa ke tempat selamat.

"Difahamkan, lima kanak-kanak daripada keluarga itu sudah diselamatkan penduduk dan mereka kemudiannya menghubungi bomba.

“Semua mangsa ditempatkan di rumah saudara berhampiran," katanya.

Menurutnya, mangsa memaklumkan air mula naik pada 7.30 malam tadi.

Katanya, pemantauan bomba mendapati banjir surut pada 3.30 pagi.

“Bagaimanapun, semua mangsa dinasihatkan terus berada di penempatan sementara kerana khuatir banjir kilat berulang.

"Sembilan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih terbabit dalam operasi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 9:27 AM