COUTINHO
COUTINHO
AFP

Madrid: Barcelona menerima berita gembira biarpun tewas 1-5 secara agregat kepada Real Madrid pada Piala Super Sepanyol apabila seorang pegawai senior kelab itu mendakwa mereka “semakin hampir” mendapatkan khidmat Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele.

Pengurus Besar Barca, Pep Segura berkata, rundingan bersama Liverpool buat perancang utama dari Brazil, Coutinho dan Borussia Dortmund berkaitan pemain sayap Perancis, Dembele mungkin boleh dimuktamadkan beberapa hari lagi.

“Kami perlu membantu memperkukuhkan pasukan dan mereka akan berada di sini dalam beberapa hari lagi,” kata Segura kepada stesen TV Catalunya, Esport3 selepas Barca tewas aksi kedua Piala Super 0-2 di Santiago Bernabeu, Madrid.

“Kami berbincang mengenai beberapa syarat membabitkan Coutinho dan Dembele... ia semakin hampir.

“Kami harap mereka akan menjadi pemain Barca musim depan.”

Barcelona berdepan dilema berikutan perpindahan Neymar ke Paris Saint-Germain dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) awal bulan ini.

Jurulatih baru Barca, Ernesto Valverde mengakui ketiadaan Neymar menjejaskan keseimbangan pasukan itu.

Kelab Catalunya itu sebelum ini bergelut untuk memeterai perjanjian buat Coutinho dan Dembele dengan Liverpool dan Dortmund meminta bayaran sekitar 100 juta euro (RM506 juta) apabila menyedari Barca terdesak untuk mencari pengganti sebelum jendela perpindahan pemain ditutup 31 Ogos ini.

Pertahanan Barca, Gerard Pique menafikan laporan perbalahan antara pemain kelab itu dengan ahli lembaga pengarah yang menerima tekanan.

Bagaimanapun Pique mengakui masih banyak perlu dilakukan Barca jika mahu merapatkan jurang dengan Madrid yang terus menambah koleksi gelaran sebagai juara Eropah dan Sepanyol dengan menjuarai Piala Super UEFA dan Sepanyol dengan penuh bergaya sejak beberapa minggu lalu.

“Kami tidak berada pada tahap terbaik. Baik sebagai pasukan mahupun kelab,” kata Pique.

“Kami harus bersatu dan melangkah ke hadapan. Musim ini masih panjang dan ia baru bermula. Madrid begitu hebat jadi kami perlu menerima kekalahan itu, mengucapkan tahniah kepada mereka dan mempamerkan peningkatan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 5:13 AM