Balakrishnan (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Jenayah 9 setelah didakwa bagi kes tuntutan palsu berjumlah hampir RM 13 juta. FOTO Eizairi Shamsudin
Balakrishnan (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Jenayah 9 setelah didakwa bagi kes tuntutan palsu berjumlah hampir RM 13 juta. FOTO Eizairi Shamsudin
Murni Wan Omar


BEKAS Naib Presiden MIC, Tan Sri S Balakrishnan dan anak lelakinya, B Ashok Kumar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan membuat tuntutan palsu berjumlah hampir RM13 juta bagi Projek Pengindahan dan Pembaikan Sungai Melaka.

Balakrishnan, 63, didakwa membuat tuntutan bayaran palsu bagi kerja bekalan dan penghantaran kontena penyahairan berjumlah RM12,888,000.

Dalam tuntutan itu tertuduh memperakukan pembekalan sebanyak 358 unit kontena sedangkan ia adalah palsu kerana hanya 89 unit kontena dibekalkan.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Ashok Kumar, 31, pula didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu dengan bapanya, di Pejabat Bahagian Projek Khas, Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) antara 27 April 2012 dan 23 Oktober 2013.

Mahkamah membenarkan Balakrishnan dan Ashok Kumar masing-masing dikenakan jaminan RM500,000 serta memerintahkan pasport diserahkan.

Mahkamah juga menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 1:57 PM