foto hiasan
foto hiasan
Siti A'isyah Sukaimi


TANDA tanya penjawat awam yang tidak hadir seminggu ke tempat kerja terjawab apabila mayatnya ditemui di rumahnya di kuarters kerajaan Fasa 5R4, Presint 5 Putrajaya.

Sumber-sumber berkata, difahamkan lelaki dikenali sebagai Ismail, 51, dan berstatus bujang itu tinggal sendirian di rumah.

Menurutnya, kehilangannya disedari rakan sekerja apabila tidak hadir ke pejabat selama seminggu.

"Petang semalam, rakan sekerja lelaki terbabit dengan bantuan penduduk pergi ke rumahnya dan memanggilnya beberapa kali. Namun tidak berjawab.

"Pintu jeriji rumahnya pula dilihat berkunci dengan mangga. Rakannya bertambah hairan apabila kereta lelaki terbabit berada di tempat letak kereta di kawasan pangsapuri itu," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, penduduk kemudian meminta bantuan polis untuk memecahkan pintu dan mereka menemui mayat di dalam rumah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata: “Polis memecah pintu rumahnya dan menemui satu mayat lelaki terbaring di katil.

"Forensik mengesahkan mayat itu berusia tiga hari dan semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod sakit jantung.”

Menurutnya, mayat itu dihantar ke Hospital Putrajaya, tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 8:18 PM