Mohamad Fahd Rahmat


KANAK-KANAK lelaki berusia 21 bulan yang disyaki didera keluarga angkatnya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, 12.45 tengah hari ini .

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca kematian.

"Kita menunggu laporan bedah siasat terlebih dahulu dan mayat mangsa kini masih berada di HSNI.

"Polis sedang berurusan dengan ibu mertua suspek dan pihak Patologi HSNI," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa, Muhamad Al Fateh Abdullah dimasukkan ke wad berkenaan, Rabu lalu kerana mengalami sawan hingga tidak sedarkan diri.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, menerima panggilan telefon daripada HSNI, 2.40 petang kelmarin, menyatakan terdapat kanak-kanak lelaki disyaki didera.

Semakan rekod hospital mendapati mangsa sudah dimasukkan untuk kali yang ketiga dan disyaki ada unsur penderaan memandangkan terdapat beberapa kesan kecederaan lama dan juga kesan kecederaan baru pada tubuh badan mangsa.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Batu Pahat Khairu Asri Ismail ketika dihubungi berkata, JKM iaitu pihak pelindung tidak menghantar mangsa ke rumah pelindungan kerana ibu bapa angkatnya merayu untuk menjaga mangsa.

"Ibu-bapa mangsa merayu untuk terus menjaga kanak-kanak itu menyediakan keperluan kanak-kanak. Pelindung (JKM) memberi amaran kepada ibu angkat kanak-kanak untuk menjaga dengan sebaik mungkin," katanya.

Berita berkaitan:

Budak lelaki 'tinggal nyawa ikan' akibat didera

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 2:06 PM