Petikan video yang tersebar.
Petikan video yang tersebar.
Mohamad Fahd Rahmat


LELAKI dikenali sebagai Ali Itik dan Mustakim antara yang sudah dikenal pasti terbabit dalam insiden kekecohan program agihan kurma oleh parti politik di Bazar Ramadan Bandar Kluang, Johor petang semalam yang videonya tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.

Katanya, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, 39, membuat laporan polis berhubung insiden itu.

"Pengadu bersama beberapa wakil parti politik ke lokasi bagi menyampaikan sumbangan kurma kepada orang ramai. Ketika sumbangan kurma diberikan, muncul sekurang-kurangnya enam lelaki membuat provokasi terhadap pengadu dan wakil parti politik lain.

"Insiden itu berlaku kerana ideologi politik yang berbeza," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, seorang ahli parti politik berusia 30 tahun yang terbabit dalam program agihan kurma itu mendakwa ditumbuk di bahagian dahi kiri oleh salah seorang daripada lelaki yang sudah dikenal pasti.

"Mangsa berasa sakit di bahagian dahi sebelah kiri. Dua lelaki yang sudah dikenal pasti itu membuat provokasi dan sentuhan terhadap pengadu dan beberapa wakil parti politik yang lain.

"Tiada kerosakan harta benda dalam kejadian itu. Lelaki lain yang menimbulkan provokasi sedang di kenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2017 @ 4:45 PM