Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

 

OPERASI Mencari dan Menyelamat (Carilamat) sembilan anak kapal KD Perdana yang hilang selepas bot dinaiki terputus hubungan dengan kapal itu diteruskan di sekitar Perairan Sedili, Johor pada 1 tengah hari Sabtu lalu diteruskan bermula 9.30 pagi semalam.

Dalam kenyataan Markas Wilayah Laut 1, operasi diperluaskan menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Persatuan Nelayan Sedili.

Menurutnya, kedudukan terakhir bot dan hubungan komunikasi terputus di kedudukan 29 batu nautika, Timur Tanjung Sedili Besar.

"Ketika kejadian keadaan cuaca baik dengan ketinggian ombak satu hingga 1.5 meter dengan kelajuan angin 20 hingga 30 kilometer sejam.

"Bilik operasi Carilamat ditubuhkan di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan. Usaha pencarian masih dijalankan membabitkan 11 aset di laut dan dua aset udara," katanya.

Katanya, bot dan anak kapal dipercayai berlindung di daratan berhampiran atau bot nelayan di kawasan perairan itu.

Dalam kejadian 9.30 pagi Sabtu lalu, KD Perdana mengesan 10 bot nelayan Vietnam di Perairan Sedili dan lima bot penceroboh berjaya diarahkan keluar, manakala lima lagi menghala ke utara.

Pada jam 1 tengah hari, lima bot nelayan asing dikesan dengan bot peronda diarahkan pergi memeriksa dua bot nelayan asing yang bergerak ke barat, manakala KD Perdana menghalau tiga bot lain.

Pada jam 1.30 tengah hari, KD Perdana gagal menghubungi bot berkenaan melalui walkie talkie dan memulakan operasi pencarian sebelum operasi CARILAMAT dimulakan secara rasmi, jam 7.30 malam Ahad.

Sehingga jam 7.30 pagi hari ini, bot yang dinaiki 9 anak kapal termasuk kapten itu masih gagal dikesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 10:53 AM