Keadaan kereta mangsa selepas berlaku letupan bom buatan sendiri. FOTO ihsan polis
Keadaan kereta mangsa selepas berlaku letupan bom buatan sendiri. FOTO ihsan polis
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI berusia 50 tahun parah di kedua-dua kaki akibat terkena letupan bom yang dipasang di keretanya dalam kejadian di Jalan Pengkalan Setia, Taman Pengkalan Setia, Simpang, Taiping, kira-kira 10 malam semalam.

Mangsa yang bekerja di sebuah kilang kejuruteraan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dipercayai menjadi mangsa bom buatan sendiri dipasang along yang bertujuan mendapatkan bayaran hutang.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Andullah berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian pada 10.10 malam daripada orang awam yang memaklumkan berlaku letupan di lokasi kejadian.

"Siasatan di lokasi mendapati letupan itu berlaku di luar rumah berhampiran jalan raya di tempat mangsa meletakkan kereta jenis Toyota Corolla.

"Mangsa dikatakan datang melawat anak lelakinya pada Sabtu dan semakan mendapati dia pernah tinggal di Taiping sekitar 2014 sebelum ke Bukit Mertajam dan hanya anak lelaki saja tinggal di Taiping kerana belajar di Tingkatan 5," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keterangan, mangsa bersiap untuk pulang ke Bukit Mertajam dan sebaik saja membuka pintu bahagian pemandu, berlaku satu letupan kuat hingga mencederakan kedua-dua kaki mangsa.

Katanya, kereta mangsa turut mengalami kerosakan dan pemeriksaan menjumpai beberapa barangan antaranya besi, bateri, wayar dan tali yang dipercayai adalah komponen bahan letupan buatan sendiri untuk mendatangkan kecederaan.

"Tiada saksi yang nampak kejadian atau suspek yang memasang bahan letupan itu.

"Bahan letupan itu dipercayai dipasang dengan cara tali diikat ke pintu kereta dan meletup sebaik tali ditarik apabila pintu dibuka," katanya.

Menurutnya, mangsa masih dirawat di Hospital Taiping dan dilaporkan tidak mengalami kecederaan yang mengancam nyawa selain mengalami luka-luka luaran.

"Hasil pemeriksaan X-ray dapati ada serpihan menyerupai skru dalam kedua-dua bahagian kaki mangsa.

"Temubual dengan mangsa juga mendapati dia berasal dari Seberang Perai dan sebelum ini mempunyai kilang kejuruteraan sendiri yang mengalami masalah. Pada 2013 dia membuat pinjaman dari along di Seberang Perai sebanyak RM300,000 serta tidak mampu membayarnya," katanya.

Menurutnya, mangsa sendiri percaya punca kejadian adalah perbuatan along yang masih menagih hutang yang belum dijelaskan dan mengesyaki diekori kumpulan along sehingga ke Taiping.

"Polis sedang mengenalpasti kumpulan along yang disyaki melakukan perbuatan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 2:41 PM