PANG Ron dan Yee See turut menyertai All England.
PANG Ron dan Yee See turut menyertai All England.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Saingan Seluruh England sedikit terjejas berikutan terdapat kes positif Covid-19 yang turut membabitkan kem Denmark sehingga memaksa penganjur menangguhkan perlawanan yang sepatutnya berlangsung lebih awal.

Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kejohanan yang berlangsung di Birmingham yang membuka tirai hari ini akan bermula lewat iaitu 2 petang (10 malam waktu Malaysia). "Keputusan sejumlah besar ujian Covid-19 yang dijalankan ke atas pasukan yang bertanding dianggap tidak meyakinkan dan ujian semula perlu dilakukan," jelas BWF dalam satu kenyataan.

Badan induk itu juga mengesahkan hanya sejumlah kecil kes positif yang direkodkan dan menerusi perjanjian bersama Agensi Kesihatan Awam England, semua kes berkenaan akan menjalani ujian semula.

"Semua kes ini akan terus menjalani kuarantin sehingga mereka menjalani ujian semula," kata kenyataan itu.

BWF juga memberi jaminan badan induk itu akan terus melaksanakan semua protokol yang ditetapkan kerajaan United Kingdom dan Agensi Kesihatan Awam England bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua yang menyertai pertandingan.

Laporan media Denmark, TV 2 menyatakan bahawa, penolong jurulatih badminton negara itu, Thomas Stavngaard diuji positif Covid-19 selepas tiba di Birmingham.

Menurut laporan berkenaan, perkara itu disahkan Pengarah Sukan Denmark, Jens Meibom. Pemain negara yang beraksi di kejohanan berpresti ini ialah Lee Zii Jia yang juga pilihan keenam, Liew Daren (perseorangan lelaki), Soniia Cheah, S Kisona (perseorangan wanita), Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita).

Bagi beregu campuran pula terdiri daripada Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 11:45 AM