CAVANI (kanan) dan Pogba kembali berlatih. FOTO Agensi
CAVANI (kanan) dan Pogba kembali berlatih. FOTO Agensi
Agensi

London: Manchester United mendapat suntikan semangat apabila Paul Pogba dan Edinson Cavani kembali menjalani latihan semalam.

Red Devils berdepan misi getir apabila berkunjung ke AC Milan pada Jumaat ini untuk aksi peringkat kedua 16 terakhir Liga Europa dengan kedudukan terikat 1-1 sebelum ke Leicester City bagi saingan suku akhir Piala FA pada Ahad.

Mereka kini menerima khabar positif apabila kedua-dua bintang itu menyertai sesi latihan pagi semalam di Carrington. Pemain tengah Perancis, Pogba kali terakhir beraksi ketika seri 3-3 menentang Everton pada 6 Februari manakala penyerang Uruguay, Cavani yang masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Crystal Palace awal bulan ini tersisih tiga perlawanan selepas itu.

Kedua-duanya disertai pemain tengah Belanda, Donny van de Beek ketika sesi latihan. Dia memanaskan bangku simpanan ketika menentang Chelsea pada 28 Februari tetapi langsung tidak beraksi sejak menentang West Brom pada 14 Februari.

Selain itu, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer turut lega apabila boleh menurunkan David de Gea yang menjalani kuarantin sebaik tiba dari Sepanyol selepas menyambut kelahiran anaknya.

Cavani kini mampu memperkasakan jentera serangan United ketika menentang Milan di San Siro jika Anthony Martial belum cergas untuk diturunkan.

Red Devils hanya menjaringkan empat gol dalam enam perlawanan sejak bintang Amerika Selatan itu diketepikan manakala impak Pogba di bahagian tengah turut dirindui dan bakal membarisi kesebelasan utama bagi menyekat ancaman Zlatan Ibrahimovic.

Penyerang veteran berusia 39 tahun itu kembali pulih daripada kecederaan dan sedia menghantui bekas kelab lamanya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 9:47 AM