MARADONA bersama doktornya, Luque. FOTO Agensi
MARADONA bersama doktornya, Luque. FOTO Agensi
Agensi

Buenos Aires: Diego Maradona berkata dengan nada perlahan sambil mengakui: 'Saya sakit' dalam video terakhirnya yang mengejutkan beberapa hari sebelum ikon bola sepak Argentina itu meninggal dunia.

Bekas bintang Napoli dan Barcelona itu yang masih berbalut kepala selepas menjalani pembedahan darah beku di otak tampak lemah dan sukar berbual ketika dia menyampaikan mesej kepada doktor dari dapur rumah sewaannya.

Maradona mengakui: 'Saya sakit tetapi ok. Anda tahu saya tak suka beramah mesra tetapi apabila saya bersama orang baik, saya tiada masalah.'

Dia sempat berjenaka dengan menunjukkan mesejnya itu untuk pemain bola sepak Argentina yang telah pun bersara dan mempunyai nama hampir sama dengan doktor peribadinya yang kontroversi, Leopoldo Luque.

Sambil menikmati sup bersama bekas teman wanitanya, Veronica Ojeda yang merakam video terbabit , dia berkata: 'Ciuman untuk Luque. Leopoldo Jacinto Luque,' membuatkan Veronica ketawa.

Tukang masaknya, Romina Milagros Rodriguez yang memberikan bantuan pernafasan mulut ke mulut selepas Maradona mengalami serangan jantung turut kelihatan dalam video itu.

Video mengejutkan itu yang disiarkan TV Cronica dianggap yang terakhir sebelum Maradona meninggal dunia pada 25 November lalu akibat kegagalan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:32 PM