KHABIB tak mahu bertarung lagi. FOTO Agensi
KHABIB tak mahu bertarung lagi. FOTO Agensi
Agensi

Fight Island: Khabib Nurmagomedov sekali lagi memberikan bayangan jelas persaraannya adalah muktamad dan tidak akan bertarung lagi di UFC.

"Saya telah mencapai segalanya dalam sukan ini dan saya tak mahu lagi berentap dengan sesiapa pencabar lagi," kata bintang Russia itu kepada Sport24 di Fight Island awal minggu ini.

Kali terakhir Khabib bertarung pada Oktober 2020 apabila dia menewaskan Justin Gaethje dan kemudiannya melutut di oktagon sambil mengalirkan air mata ketika mengenang kematian bapanya, Abdulmanap.

Juara lightweight UFC itu membuat keputusan persaraan mengejut dengan mengatakan dia tidak mampu bertarung lagi tanpa bapanya dan sebagai menunai janji kepada ibunya.

Persaraan Khabib mengakhiri dominasi karier MMA bersama rekod cemerlang dengan 29 kemenangan (lapan KO, 11 'submission' dan 10 'decision'), tanpa kalah.

Jaguh berusia 32 tahun itu kekal figura terkenal dalam sukan itu dan pada Disember lalu, dia membuka syarikat sukan tempurnya sendiri, Eagle Fighting Championships.

Dia membantu dengan melatih dan memberi galakan kepada atlet lain seperti Islam Makhachev, jaguh lightweight di UFC dan Umar Nurmagomedov yang tampil kali pertama di UFC, Rabu lalu.

Tetapi Khabib bertemu secara rahsia dengan bos UFC, Dana White ketika kejohanan UAE Warriors MMA awal bulan ini dan menurut White, Khabib akan menimbangkan persaraannya semula jika Conor McGregor menampilkan aksi menakjubkan pada UFC 257 hari ini.

Bagaimanapun, bercakap kepada media Russia minggu ini, Khabib menegaskan dia tetap dengan persaraannya dan tak rela memungkiri janji kepada ibunya.

"Ibu saya adalah harta paling bernilai yang masih ada. Anda jangan desak saya melakukan sesuatu yang boleh melukakan hati ibu saya.

"Saya tidak merancang apa-apapun untuk kembali ke UFC pada masa hadapan malah saya langsung tak fikir persiapan mengenai itu. Saya lihat Umar bersiap sedia dan Alhamdulillah, saya telah pun meninggalkannya."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 1:30 PM