PELUMBA Williams gagal menyerlah sejak 1997. FOTO Agensi
PELUMBA Williams gagal menyerlah sejak 1997. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Pasukan Formula 1 Williams akan menggunakan kotak gear Mercedes bermula 2022 selepas mencapai persetujuan melanjutkan kerja sama teknikal dengan juara tujuh kali pengeluar itu.

Williams menggunakan enjin Mercedes sejak 2014. Kerjasama terbaru itu turut menyaksikan pasukan akan menggunakan komponen hidraulik yang dibuat Mercedes.

Prinsipal pasukan, Simon Roberts berkata, ia perjanjian jangka panjang selain langkah positif buat pasukan berpangkalan di England itu.

Roberts bekas jurutera sekian lama bersama McLaren menyertai Williams pada Mei 2020 berkata, rekabentuk kereta akan dikekalkan di samping berusaha meningkatkan keupayaan pemandu.

"Williams adalah pasukan bebas tetapi Formula Satu sentiasa berkembang dan sebagai satu pasukan kami perlu menyesuaikan diri dengannya supaya lebih kompetitif di atas trek,'' katanya lagi.

Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff pula berkata, projek bersama Williams yang dibeli firma pelaburan dari Amerika Syarikat, Dorilton Capital pada Ogos lalu sudah berjalan agak lama.

"Kepada pasukan kami, ia memang logik dari segi ekonomi dengan membantu pasukan lain di bawah peraturan baharu," kata Wolff.

"Saya bangga kami dapat meneruskan kerja sama sehingga berjaya."

Williams pasukan tunggal daripada 10 pasukan F1 yang gagal mendapat sebarang mata musim lalu. Pasukan itu yang ditubuhkan oleh Frank Williams pada 1977 menjuarai kategori pemandu sebanyak tujuh kali dan sembilan kali gelaran pengeluar tetapi kemarau kejuaraan sejak 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 10:58 AM