Agensi

London: Anthony Joshua dan Tyson Fury makin hampir terbabit dua pertarungan mega bernilai £500 juta (RM2.69 bilion).

Selepas AJ menewaskan Kubrat Pulev semalam, promoter Eddie Hearn mengesahkan venue dan kontrak stesen penyiaran menjadi agenda selepas ini untuk 'Battle of Britain'.

Promoter Fury, Bob Arum berkata dia akan berbincang dengan Hearn hari ini bermula dengan pertarungan bernilai £200 juta (RM1.07 bilion) di Timur Tengah.

Pertarungan semula berpotensi diadakan di United Kingdom di hadapan 90,000 penonton di Wembley.

Raja WBA, IBF dan WBO, AJ tidak menolak kemungkinan bertarung dengan Gypsy King tahun depan selepas menewaskan Pulev pada pusingan ke-9 di Wembley Arena.

Juara WBC, Fury kemudiannya berkata, pencabarnya itu berlagak di depan televisyen.

AJ membalasnya: ''Ia berita baik untuk didengar. Sekurang-kurangnya saya boleh mendapatkannya di gelanggang. Itu yang dimahukannya, betul?.''

Hearn pula menegaskan Joshua sudah letih dengan sikap melampau.

Kata Hearn: ''Kami semua teruja dengan pertarungan itu dan apa yang sebenarnya patut kami lakukan ialah memuktamadkan dan menjadikan ia kenyataan.

''Hanya satu perkara perlu diselesaikan ialah venue dan beberapa isu TV. Itu sahaja dan setiap orang tiada masalah kewangan. Kami akan menandatangani perjanjian dan berunding mengenai lokasi pertarungan.

''Itu yang mereka lakukan untuk pertarungan antara Fury dan Deontay Wilder. Tandatangani pertarungan dan kemudiannya mencari di mana mereka boleh dapatkan duit.

''Kami perlu menulis kepada pihak terbabit dan berkata ya kami sudah ada perjanjian dan pengesahan tarikh yang saya jangkakan penghujung Mei.''

Hearn mengesahkan minggu lalu Arab Saudi, Abu Dhabi dan Qatar antara lokasi pilihan untuk pertarungan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 12:34 PM