AKSI Hamilton di atas podium di Abu Dhabi.  FOTO AFP
AKSI Hamilton di atas podium di Abu Dhabi. FOTO AFP
Agensi

Yas Marina, UAE: Lewis Hamilton berkata dia gembira 'masih hidup' selepas pulih koronavirus untuk menamatkan musim F1 dengan menduduki tempat ketiga semalam.

Juara dunia itu terlepas perlumbaan di Bahrain minggu lalu selepas dijangkiti Covid-19 tetapi kemudiannya pulih untuk menyertai Grand Prix Abu Dhabi.

Hamilton berkata selepas perlumbaan: "Saya berasa lemah dan hampir musnah. Tetapi saya gembira dan bersyukur masih hidup. Saya berjuang sekali lagi dan berjaya menaiki podium.''

Pelumba Mercedes berusia 35 tahun itu positif Covid-19 selepas menjuarai Grand Prix Bahrain bulan lalu, terpaksa melupakan GP Sakhir di litar sama dan menghabiskan 10 hari menjalani kuarantin sebelum disahkan negatif pada Rabu lalu untuk berkunjung ke Abu Dhabi.

"Covid bukan jenaka,'' katanya. "Saya tak pernah terfikir mengenainya tetapi saya tahu pada sesetengah peringkat jika dijangkiti akan menjadi sukar kerana ada orang kehilangan nyawa. Jadi saya tahu ia serius.

"Saya pelik apabila ada pemimpin dunia masih boleh ketawa seperti tiada yang serius.

Berjaya kembali di sini, saya tahu fizikal saya tidak seperti sebelum ini tetapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.''

Walapun mengakui dia belum sihat sepenuhnya, Hamilton berkata dia bersemangat kembali ke Abu Dhabi selepas diuji negatif tepat pada masanya.

"Terdapat jurang masa yang panjang di antara Bahrain (perlumbaan) dan perlumbaan akan datang (tahun depan)," kata Hamilton. "Jadi adalah penting saya kembali meneruskan persaingan dan menamatkannya dengan cemerlang bersama pasukan."

Pelumba Red Bull, Max Verstappen menjuarai perlumbaan terakhir itu dengan rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas di tempat kedua.

Hamilton muncul pelumba F1 paling berjaya tahun ini dengan memintas rekod sepanjang zaman milik Michael Schumacher dan menyamai pencapaian legenda Jerman dengan tujuh gelaran dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 11:43 AM