AKSI Ronaldo menjaringkan penalti Juventus. FOTO AFP
AKSI Ronaldo menjaringkan penalti Juventus. FOTO AFP
AFP

Milan: Cristiano Ronaldo meraikan penampilan ke-100 bersama Juventus dengan dua jaringan penalti ketika menewaskan Genoa 3-1 sekali gus membolehkan juara bertahan merapatkan kedudukan dengan pendahulu Serie A, AC Milan yang terikat dengan Parma di tempat sendiri.

Pertahanan Perancis, Theo Hernandez muncul penyelamat menerusi jaringan lewat untuk AC Milan yang bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum seri 2-2 ketika menentang Parma di San Siro.

Milan kini hanya tiga mata mendahului Inter di tangga kedua selepas skuad Antonio Conte bangkit menewaskan Cagliari 2-1 di tempat lawan.

Napoli ketiga dengan satu mata di belakang selepas menewaskan Sampdoria 2-1 untuk membolehkan mereka sama mata dengan juara sembilan kali, Juventus.

Beraksi tanpa penjaring terbanyak, Zlatan Ibrahimovic, Milan tampak hampir tewas kali pertama saingan liga musim ini.

Percubaan Hakan Calhanoglu tiga kali terkena palang manakala rembatan Brahim Diaz turut terkena tiang sebelum Hernani meletakkan Parma di depan pada babak pertama.

REAKSI Hernandez selepas menembusi gawang Parma. FOTO AFP
REAKSI Hernandez selepas menembusi gawang Parma. FOTO AFP

Pemain tengah Brazil itu membantu Jasmin Kurtic untuk jaringan kedua pada minit ke-56 tetapi dua minit kemudian Hernandez menanduk masuk sepakan sudut Calhanoglu dan pertahanan Perancis itu menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Di Genoa, Paulo Dybala meledak gol pertama liga musim ini bersama Juventus pada minit ke-57 dan Ronaldo mengesahkan kemenangan menerusi dua penalti lewat permainan selepas Stefano Sturaro menyamakan kedudukan.

Jaringan penyerang Portugal itu membolehkan dia terikat dengan bintang AC Milan, Ibrahimovic sebagai penjaring terbanyak Serie A dengan 10 gol musim ini untuk keseluruhan 79 sejak menyertai Juventus pada 2018.

"Apakah cara terbaik meraikan aksi ke-100 saya bersama Juventus selain meledak dua gol untuk pasukan,'' kata Ronaldo dalam Twitter sebelum bertekad mencatat 100 gol bersama juara bertahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 9:12 AM