THOMAS pemain ranking nombor tiga dunia. FOTO AFP
THOMAS pemain ranking nombor tiga dunia. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Justin Thomas hanya satu-satunya pemain dalam kelompok 10 teratas di lapangan dan muncul pilihan utama menjuarai Mayakoba Golf Classic, kejohanan terakhir Jelajah PGA Amerika Syarikat musim 2020.

Pemain nombor tiga dunia, Thomas berpeluang cerah selepas Dustin Johnson yang menduduki ranking nombor satu tidak mengambil bahagian dalam kejohanan di El Camaleon Golf Club.

Thomas yang meraih dua kejuaraan pada 2020 menduduki tempat keempat Masters selain lima kali berturut-turut menamatkan kedudukan dalam kelompok 15 teratas.

Berdasarkan pencapaian tahun ini, Thomas bangga dengan apa yang dilakukannya malah sepatutnya jauh lebih baik.

"Anda tahu saya hanya empat atau lima pusingan daripada mencipta satu lagi tahun bersejarah, tetapi tidak bermakna ia tidak berlaku musim depan," katanya.

"Saya masih tidak nampak mengapa seseorang tidak mampu menang lapan, sembilan, 10, 11 kali dalam semusim. Saya tahu ia sukar dan ramai percaya ia mustahil tetapi seperti saya katakan, saya hanya beberapa pusingan dalam musim pendek ini untuk menjuarai lima atau enam kali."

Salah satu pencabar utama Thomas mungkin datang daripada pemenang empat kejohanan utama Brooks Koepka yang tampil kembali selepas pulih kecederaan. Koepka muncul naib juara di belakang Thomas pada Kejohanan WGC-FedEx St. Jude Invitational.

Pencabar lain ialah bekas juara, Harris English yang beraksi dengan baik musim ini apabila menduduki kelompok 20 teratas dalam 12 daripada 17 kejohanan terakhir disertainya. Dia menduduki tempat kelima berseorangan di kejohanan itu tahun lalu.

Daniel Berger juga turut konsisten tahun ini. Berger yang tidak layak ke Masters menduduki kelompok 10 teratas dalam tujuh daripada sembilan kejohanan disertainya.

Mayakoba juga dianggap seperti rumah kedua kepada Pat Perez yang berusia 44 tahun. Dia yang juga muka biasa dalam kejohanan itu menjuarainya pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 11:21 AM