KHABIB Nurmagomedov. FOTO AFP
KHABIB Nurmagomedov. FOTO AFP
Agensi

London: Pengurus Khabib Nurmagomedov memberi bayangan jaguh seni bela diri campuran (MMA) itu akan kembali ke oktagon UFC walaupun mengumumkan persaraannya selepas menewaskan Justin Gaethje bulan lalu.

Juara lightweight UFC itu melebarkan rekod 29-0 menerusi kemenangan ke atas Gaethje di Abu Dhabi dan selepas itu dia membuat keputusan mengejutkan dengan mengumumkan persaraannya.

Ia sebagai menunaikan janji Khabib kepada ibunya yang tidak mahu bertarung lagi selepas kematian bapanya tahun ini.

'Hari ini adalah pertarungan terakhir saya. Tak mungkin saya datang lagi ke sini tanpa bapa. Ia kali pertama berlaku selepas takdir menimpa bapa saya,'' kata Khabib.

SHARKAWI gigih bekerja di pusat pungutan sampah. FOTO Reuters
SHARKAWI gigih bekerja di pusat pungutan sampah. FOTO Reuters

''Apabila UFC menelefon saya mengenai Justin, saya bercakap dengan ibu saya selama tiga hari, dia tak mahu saya bertarung tanpa bapa di sisi.

''Tetapi saya berjanji kepadanya, ia akan menjadi aksi terakhir dan saya berpegang kepada janji. Saya mahu anda di UFC meletakkan saya di tempat sepatutnya. Tidak pernah tewas, juara lightweight, 13-0 [di UFC], 29 dalam karier MMA. Saya rasa saya berhak menerima pengiktirafan.''

Bagaimanapun, presiden UFC, Dana White yakin Khabib akan menukar fikiran dan sekarang pengurusnya, Ali Abdelaziz turut memberi bayangan jaguh itu akan kembali ke gelanggang. Ciapan ringkas Abdelaziz di Twitter '30-0' memberi bayangan Khabib sedia kembali bertarung untuk melebarkan rekod kemenangan dengan satu lagi kejuaraan.

Rekod 30-0 turut termasuk dalam perancangan ayah Khabib untuk anaknya sebelum Abdulmanap, meninggal dunia pada Julai. Abdulmanap berkata kepada BJ Penn.com: 'Untuk Khabib, 30-0 sudah cukup. Mengenai pertarungan terakhirnya sudah tentu kami lebih suka ia berlangsung di Moscow.'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 2:26 PM