PNB Perdana Hotel & Suite On The Park

PNB Perdana Hotel & Suites On The Park Kuala Lumpur menampilkan kelainan untuk berbuka puasa pada tahun ini dengan membawa suasana meriah bazar Ramadan.

Bertemakan Bazar Perdana, Restoran 10 Binjai yang berkonsepkan santai diubah dengan menampilkan gerai bazar Ramadan unik buat pengunjung bagi merasai suasana seperti berada di bazar sebenar.

Sajian bufet beraneka cita rasa dengan variasi sebanyak 188 hidangan masakan tempatan antara pastinya menjanjikan pengalaman berbeza.


Beberapa jenis hidangan istimewa disediakan seperti sup berempah binjai, kambing golek, apam balik, sate, aiskrim goyang, ais batu campur dan murtabak keju.

Pengurus Besarnya, Taha Zainal, berkata tema Bazar Perdana dipilih kerana ia menunjukkan simbolik perpaduan masyarakat Malaysia.


“Bazar Ramadan sememangnya menjadi medan tarikan pengunjung untuk membeli juadah berbuka puasa tanpa mengira kaum. Sehubungan itu, hotel ini menjanjikan satu pengalaman bazar Ramadan menarik dengan tawaran pelbagai menu istimewa.

“Konsep syariah Islam diamalkan di sini dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi sijil halal sejak tahun 2007, malah kami antara hotel yang menerima pensijilan syariah sepenuhnya daripada JAKIM,” katanya.


Selain itu, pengunjung yang ingin menikmati pemandangan indah Kuala Lumpur sambil dihiburkan dengan muzik menenangkan, boleh berbuka puasa di Restoran 39 dengan merasai hidangan kari kepala ikan dan sup gear box.

Harga bufet di Restoran 10 Binjai ialah RM98 seorang manakala di Restoran 39 ialah RM135. Kemudahan surau untuk solat maghrib dan tarawih juga disediakan di tingkat 5.


Untuk tempahan lanjut boleh hubungi 03-74903939 (Restoran 39) dan 03-74903838 (Restoran 10 Binjai) atau layari www.pnbperdanaonthepark.com.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 2:11 PM