LEPUH pada kulit merujuk keadaan yang mana pembentukan gelembung air pada permukaan kulit luar.
Keadaan itu mengundang keinginan ramai orang memecahkan gelembung bagi mengeluarkan cairan.
Bagi pakar dermatologi, tindakan itu boleh mengundang komplikasi terutama lepuh yang berpunca daripada masalah jangkitan kuman pada kulit.
Tindakan memecahkan gelembung pada kulit yang 'melepuh' dibimbangi menyebabkan jangkitan di bahagian kulit yang sihat.
Sebaiknya kenal pasti dahulu punca mengakibatkan masalah lepuh pada kulit sebelum ambil tindakan memecahkan gelembung air terbabit.
Sebagai rujukan umum, lepuh itu sendiri mekanisme semula jadi bagi kulit memberi perlindungan kepada bahagian yang terjejas daripada dijangkiti kuman sementara membentuk lapisan kulit baru di bawahnya.
Ada beberapa keadaan boleh mengakibatkan lepuh pada kulit. Berikut antara punca yang dikenal pasti kerap menyebabkan lepuh pada kulit.
1. Geseran
Masalah ini kerap berlaku apabila individu mengenakan kasut tidak sesuai atau terlalu ketat.
Apabila dipakai untuk satu tempoh lama akan menyebabkan geseran antara kulit dan permukaan kasut lalu mengakibatkan bahagian terbabit melepuh.
Bahagian kerap terjejas adalah ibu atau anak jari kaki mahupun di tapak di bahagian kaki hadapan.
Lepuh berpunca daripada geseran ini boleh sembuh andai individu mengalaminya menjaga kebersihan kaki termasuklah menjalani rutin membersihkan kaki dan memastikan ia kering.
Tetapi, ada pandangan dari pakar kulit luar seperti American Academy of Dermatology (AAD) berpendapat lepuh yang besar atau menyakitkan boleh dipecahkan.
Namun untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan lain seperti pesakit diabetes perlu lebih teliti menangani masalah lepuh termasuk menjalani rawatan cuci luka bagi mengelak jangkitan kuman.
2. Luka lecur
Lepuh boleh berlaku pada mereka yang mengalami kecederaan akibat terbakar sama ada berpunca daripada kebakaran, renjatan elektrik dan cahaya matahari.
Dalam kes ini pakar menyarankan supaya tidak menyentuh apatah lagi memecahkan gelembung kerana bimbang bahagian kulit terjejas lebih dalam daripada lepuh luka biasa.
3. Ekzema
Ekzema berpunca daripada faktor genetik menyebabkan kulit mengalami kerosakan, tindak balas sistem keimunan berbeza, seterusnya menyebabkan kulit hilang fungsi sebagai pelindung, berlaku alahan dan rengsa.
Dalam gejala ekzema dyshidrotic, pesakit mengalami kegatalan, kekeringan dan lepuh kecil di tangan atau kaki.
Kemungkinan lepuh terbentuk dengan kemunculan gejala yang turut dirangsang oleh stres, suhu yang panas dan juga trauma berpunca daripada tabiat menggaru.
Kes lepuh bagi pesakit ekzema, mereka sebaiknya tidak memecahkan gelembung cecair kerana ada kemungkinan boleh menyebabkan komplikasi lain. Sebaiknya gunakan ubat disarankan doktor.
4. Jangkitan kuman
Jangkitan virus tertentu boleh menyebabkan lepuh seperti virus varicella-zoster, penyebab cacar air, kayap dan virus herpes simplex.
Bagi lepuh berpunca daripada serangan virus sebaiknya tidak menyentuh kawasan terjejas bagi mengelak ia merebak.
Untuk kurangkan rasa gatal, boleh cuba mandian air sejuk yang ditambah dengan soda penaik atau garam bukit.