MULUT berbau ketika berpuasa disebabkan oleh kekurangan air liur (xerostomia). - FOTO Google
MULUT berbau ketika berpuasa disebabkan oleh kekurangan air liur (xerostomia). - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Mulut berbau ketika berpuasa adalah perkara biasa. Punca utamanya disebabkan oleh kekurangan air liur atau dikenali sebagai 'xerostomia'.

Kekurangan air liur ialah akibat tindakan fisiologi semula jadi badan untuk mengurangkan kehilangan air dalam badan.

Pakar Pergigian Periodontik Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Wan Nur Alwani Wan Abdul Aziz berkata, air liur berfungsi sebagai mekanisme semula jadi bagi pencernaan makanan dalam mulut dan pertahanan mulut.

Menurutnya, selain mengandungi enzim penting untuk pencernaan makanan, sifat sedikit beralkali dapat meneutralkan asid yang terbentuk akibat tindak balas bakteria ke atas sisa makanan.

"Selain itu, mineral yang terkandung di dalamnya seperti fluorida boleh melambatkan proses pembentukan karies gigi.

"Selain itu, air liur juga mengandungi antibodi semula jadi untuk melawan bakteria dalam plak gigi (tahi gigi) yang boleh menyebabkan karies gigi dan penyakit gusi," katanya.

Beliau berkata, air liur yang sentiasa dirembeskan dalam keadaan rehat, bercakap mahupun makan, secara tidak langsung juga menjadi ejen pembasah (hidrasi) dan pembersih semula jadi. Ia dapat mengawal kesihatan mulut seseorang.

"Kekurangan air liur ketika berpuasa bukan sekadar disebabkan kekurangan pengambilan air, ia juga disebabkan mekanisme semula jadi badan untuk mengelakkan dehidrasi.

"Oleh itu, apabila kekurangan ini berlaku, fungsi air liur akan terjejas. Lebih banyak bakteria melekat pada gigi, gusi dan tisu lembut dalam mulut termasuk lidah, pipi serta lelangit.

"Bakteria ini akan aktif mengeluarkan gas mengandungi sulfur yang menyebabkan bau mulut dan keadaan ini sering berlaku kepada orang berpuasa," katanya.

BERUS gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. - FOTO Google
BERUS gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari. - FOTO Google

Dr Wan Nur Alwani berkata, namun bagi individu yang kerjayanya membabitkan hubungan dengan orang ramai, keadaan ini sedikit sebanyak merungsingkan.

Ia turut menjejaskan keyakinan diri dan boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada kedua-dua pihak.

"Kaedah terbaik untuk mengawal bau mulut adalah dengan bersugi atau memberus gigi. Umum mengetahui bersugi adalah disunatkan.

Bagaimanapun, untuk orang yang berpuasa, jumhur ulama bersepakat mengatakan hukumnya harus, jika ia dilakukan sebelum masuk waktu Zuhur.

"Manakala jika bersugi dilakukan selepas waktu Zuhur, ulama berbeza pendapat mengenainya (khilaf) iaitu makruh dan harus," katanya.

Sementara itu, Pakar Pergigian Ortodontik USIM Dr Zurairah Ibrahim berkata, keadaan mulut berbau masih boleh dikawal dengan teknik memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali di siang hari iaitu sekali di awal pagi selepas sahur atau pun sebelum Subuh dan sekali lagi sebelum Zuhur.

Menurutnya, pemberusan ini boleh ditambah pada waktu malam, sekurang-kurangnya sekali sebelum tidur.

Perlu diingat, penekanan perlu diberikan kepada teknik memberus gigi yang betul dan sempurna.

"Contoh, jika individu memberus gigi lima kali sehari, tetapi teknik digunakan tidak cukup membersihkan plak dan sisa makanan, maka ia masih boleh menjadi punca kepada mulut berbau serta masalah gigi lain.

"Sebaliknya, jika individu memberus gigi sekurang-kurang dua kali, tetapi menggunakan teknik yang betul, ia dapat mengelakkan bau mulut dan penyakit gigi lain," katanya.

Menurutnya, pemberusan gigi seharusnya tidak hanya tertumpu kepada pemberusan gigi semata-mata, sebaliknya perlu melingkupi hujung gusi dan lidah.

"Ini kerana, kajian menunjukkan lidah adalah kawasan paling tinggi pengumpulan bakteria dan pengabaian kebersihan lidah juga menjadi antara penyumbang utama kepada masalah mulut berbau.

UBAT kumur mengandungi ejen antibakteria boleh mengekang mulut berbau. - FOTO Google
UBAT kumur mengandungi ejen antibakteria boleh mengekang mulut berbau. - FOTO Google

"Selain kaedah memberus gigi, bau mulut juga boleh dikurangkan dengan menggabungkan pemberusan dan penggunaan ubat kumur," katanya.

Dr Zurairah berkata, ubat kumur yang baik mengandungi ejen antibakteria yang mana pengumpulan bakteria dapat dikawal, sekali gus mengekang kejadian mulut berbau.

"Ada berbagai jenis ubat kumur di pasaran, sama ada mengandungi ekstrak bahan semula jadi seperti herba dan minyak pati ataupun ubat kumur formulasi kimia yang mengandungi bahan antibakteria dan antiplak yang mampu mengawal pembiakan bakteria dalam masa tertentu.

"Namun, perlu diingat kaedah utama pengawalan plak dan bau mulut adalah pemberusan gigi.

"Ubat kumur hanya sebagai ejen tambahan (adjunctive) kepada pemberusan gigi yang dapat memberikan impak lebih berkesan terhadap kawalan kebersihan mulut," katanya.

Beliau berkata, secara ringkasnya, masalah mulut berbau tidak hanya berpunca daripada keadaan mulut yang kering (xerostomia).

"Tetapi, ia boleh disebabkan oleh pelbagai faktor lain seperti pemakanan, penyakit gusi, penyakit berkaitan barah mulut dan hidung. Selain itu, pengambilan ubat-ubatan tertentu serta faktor usia boleh menjadi penyebab semula jadi kekurangan air liur.

"Sekiranya menyedari bau mulut berlanjutan walaupun ketika tidak berpuasa, segera lakukan pemeriksaan lanjut dengan pakar pergigian.

"Ini jika terdapat pengambilan ubat-ubatan yang disedari menyebabkan masalah kekurangan air liur atau mulut berbau.

"Apa pun, penjagaan kesihatan mulut bermula daripada teknik pemberusan yang sempurna. Ia dapat dimaksimumkan terutama pada bulan yang barakah ini supaya kita dapat menjalani ibadat dengan selesa, penuh tawaduk serta kesyukuran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 7:01 AM