BRYAN (kiri), Pakar Pergigian Penjagaan Khas Prof Madya Dr Mas Suryalis Ahmad (tengah) dan Dr Lim (kanan) melakukan simbolik kerjasama antara Persatuan Doktor Pergigian Malaysia dengan Haleon.
BRYAN (kiri), Pakar Pergigian Penjagaan Khas Prof Madya Dr Mas Suryalis Ahmad (tengah) dan Dr Lim (kanan) melakukan simbolik kerjasama antara Persatuan Doktor Pergigian Malaysia dengan Haleon.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Laporan Status Kesihatan Oral Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, kira-kira 3.5 bilion orang di seluruh dunia terjejas dengan penyakit oral.

Di Malaysia, 94 peratus daripada golongan dewasa mempunyai masalah gusi.

Manakala 88.9 peratus mengalami kaviti gigi seperti dinyatakan dalam Kaji Selidik Kesihatan Pergigian Orang Dewasa (NOHSA) 2010.

Satu kajian berasingan oleh peneraju global dalam kesihatan pengguna, pakar kesihatan oral dan pembuat Sensodyne, Haleon menunjukkan 71 peratus daripada rakyat Malaysia mengalami gejala sensitiviti gigi.

Bagi meningkatkan kesedaran kesihatan oral dan disokong oleh Bahagian kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan, Haleon bekerjasama dengan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia untuk melancarkan #BetterOralCareNation.

Ia adalah kempen selama sebulan yang menyediakan pemeriksaan gigi percuma bermula 1 Mei, selain aktiviti berbentuk pendidikan untuk menambah baik kefahaman kesihatan oral dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengurus Besar, Malaysia, Singapura dan Brunei (MSB) Haleon Bryan Wong berkata, syarikat sentiasa berusaha menambah baik tabiat kesihatan oral dalam kalangan rakyat Malaysia dan membina kesedaran berkaitan kesihatan oral seperti sensitiviti serta periodontitis.

"Ini memandangkan, perkara itu boleh dicegah menerusi kebersihan oral yang berkesan.

KESIHATAN oral tidak boleh diabaikan. - FOTO Google
KESIHATAN oral tidak boleh diabaikan. - FOTO Google

"Kami komited untuk menyokong peningkatan kesihatan oral harian dan teruja terhadap kerjasama dengan Persatuan Doktor Pergigian Malaysia untuk mendidik serta memperkasakan orang ramai berkenaan kepentingan kesihatan oral harian," katanya.

Untuk rekod, 72,000 pemeriksaan gigi akan dijalankan dengan kerjasama Persatuan Doktor Pergigian Malaysia.

Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia Dr Lim Chiew Wooi berkata, kes global berkaitan dengan penyakit oral meningkat satu bilion dalam tempoh 30 tahun lalu.

"Ini menunjukkan, penyakit oral adalah masalah kesihatan yang lazim di seluruh dunia. Hanya 16 peratus rakyat Malaysia berjumpa doktor gigi, sekurang-kurangnya dua kali setahun.

"Hakikat ini membimbangkan, memandangkan pengabaian terhadap kesihatan oral bukan sahaja akan meningkatkan risiko terdedah kepada periodontitis yang lebih tinggi, tetapi juga meningkatkan risiko penyakit lain," katanya.

Menurutnya, individu yang menderita sebahagian jenis penyakit periodontium adalah sekali ganda mungkin dikesan menghidap penyakit jantung disebabkan plak dan bakteria memasuki badan melalui gusi.

"Penyakit oral seperti periodontitis juga mempunyai implikasi kesihatan yang lebih banyak. Ia turut dikaitkan dengan kesihatan sistemik lemah dan penyakit tidak berjangkit termasuk kencing manis serta kardiovaskular," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 6:43 AM