ANTARA buah yang digalakkan diambil ketika berbuka atau sahur.
ANTARA buah yang digalakkan diambil ketika berbuka atau sahur.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kekurangan cecair dalam badan adalah masalah lazim yang sering dihadapi individu berpuasa.

Sekiranya masalah ini berlarutan, ia boleh menjejaskan kesihatan.

Risiko masalah ini boleh dikurangkan dengan mengambil buah-buahan ketika berbuka dan bersahur.

Ini bagi menggantikan semula cairan yang hilang dalam tubuh untuk mengekalkan kesihatan.

1-Tembikai

Mengikut kajian sains, tembikai sangat sesuai dijadikan hidangan pertama ketika berbuka puasa.

Satu atau dua potong tembikai yang diambil bersama beberapa biji kurma dan segelas air kosong, cukup untuk memberikan tenaga segera kepada mereka yang berpuasa.

Kandungan 92 peratus elektrolit dalam tembikai mampu membantu tubuh memperoleh kembali cecair dan elektrolit yang hilang.

Selain itu, kandungan air yang tinggi sesuai untuk menghilangkan dahaga ketika berbuka puasa.

Malah, tembikai kaya dengan pelbagai vitamin seperti vitamin A, C, thiamin, riboflavin, niacin, vitamin B6 dan folate.

2-Kurma

Kajian saintifik membuktikan bahawa sebahagian besar kandungan kurma adalah gula iaitu antara 50 dan 75 peratus.

Gula ringkas dalam kurma termasuk glukosa, fruktosa, mannosa, maltosa, rhaminosa dan sukrosa yang mudah digunakan untuk penjanaan tenaga segera dalam tubuh manusia.

Penyerapan gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat iaitu antara 30 dan 45 minit berbanding nasi.

Oleh itu, berbuka puasa dengan kurma dapat memberi tenaga segera kepada tubuh manusia di samping dapat mencegah keletihan.

3-Pisang

Pisang antara makanan unggul yang sangat baik untuk kesihatan.

Buah ini kaya dengan sumber karbohidrat, potasium, serat dan vitamin.

Kandungan gula semula jadi pada pisang iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa berupaya memberikan tenaga segera serta berterusan.

Oleh itu, memadai mengambil dua biji pisang sehari iaitu ketika berbuka dan sahur.

Kandungan tinggi serat juga menyebabkan mudah kenyang dan lambat lapar. Seterusnya dapat membantu mengurangkan berat badan.

4-Betik

Juga satu daripada makanan unggul yang tinggi khasiat untuk kesihatan.

Kaya kandungan antioksida yang dapat melawan radikal bebas.

Di samping itu, betik turut mengandungi kandungan karotin tinggi, yang mana karotin ini turut mempunyai kebaikannya tersendiri.

Satu lagi kelebihan betik adalah kaya sumber serat yang boleh mengelakkan masalah sembelit sepanjang berpuasa.

5-Jambu batu

Tinggi serat yang memberikan rasa kenyang lenih lama.

Menurut kajian, sebiji jambu batu mengandungi empat kali lebih banyak vitamin C berbanding oren dan 10 kali lebih banyak vitamin A berbanding lemon.

Pengambilan jambu batu berpotensi meningkatkan fungsi otak termasuk meningkatkan daya ingatan seterusnya mengurangkan risiko nyanyuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 6:03 AM