PROSEDUR pengambilan air tulang belakang.
PROSEDUR pengambilan air tulang belakang.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


"Jangan ambil air tulang belakang, nanti lumpuh".

Itu kata-kata yang sering didengar sejak dahulu hingga kini berkaitan pengambilan air tulang belakang.

Masih ada masyarakat yang berpegang teguh dengan mitos ini.

Stigma seakan sukar dihapuskan menyebabkan ada pesakit menolak dan keluarganya melarang prosedur pengambilan air tulang belakang dilakukan.

Ramai tidak yakin dengan prosedur itu walaupun banyak laporan perubatan menjelaskan pengambilan air tulang belakang selamat dan tidak berbahaya.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Unit Neurologi Jabatan Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof Dr Tan Hui Jan berkata, pengambilan air tulang belakang tidak memberi kesan teruk kepada pesakit.

Menurutnya, ini kerana prosedur itu dikendalikan oleh pegawai perubatan dan pakar perubatan secara teliti.

HANYA kira-kira 30 hingga 40 mililiter (ml) saja air tulang belakang yang diambil.
HANYA kira-kira 30 hingga 40 mililiter (ml) saja air tulang belakang yang diambil.

"Pesakit perlu baring mengiring dan doktor masukkan jarum halus ke ruang antara tulang belakang lumbar untuk mengeluarkan sedikit cecair tulang belakang.

"Hanya 30 hingga 40 mililiter (ml) air tulang belakang akan diambil. Cecair tulang belakang akan dijana semula secara berterusan dan tidak menjejaskan kandungan di dalam otak seseorang.

"Selepas selesai, pesakit harus baring telentang tiga hingga empat jam untuk mengelak sakit kepala yang mungkin berlaku selepas prosedur itu," katanya.

Dr Tan berkata, air tulang belakang akan dianalisis di makmal untuk melihat kandungan cecair terbabit bagi mengetahui punca penyakit yang dialami pesakit sama ada jangkitan virus, parasit atau bakteria (tibi).

"Ini membantu pakar perubatan memberi rawatan tepat kepada pesakit.

"Saya ingin memberitahu ujian cecair tulang belakang adalah prosedur penting untuk pesakit bagi mencari 'jawapan' penyakit yang dihidapinya.

"Ini kerana, setiap penyakit ada cara rawatan atau ubat-ubatan berbeza," katanya.

Dr Tan berkata, antara pesakit melalui prosedur itu ialah pesakit tibi yang datang ke hospital dengan gejala seperti sakit kepala dan demam berpanjangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 6:30 AM