Nor 'Asyikin Mat Hayin


Bayi dan kanak-kanak adalah golongan yang mudah dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit.

Ini kerana sistem imun mereka masih rendah berbanding orang dewasa menyebabkan kelompok itu berisiko terdedah dengan pelbagai jangkitan kuman, sama ada bakteria ataupun virus.

Hanya melalui langkah proaktif ibu bapa mengambil vaksinasi untuk anak, ia boleh membantu melindungi mereka daripada jangkitan penyakit yang boleh mengancam nyawa.

Pakar Pediatrik Hospital Pusrawi Dr Nordin Zakaria berkata, pelbagai vaksinasi sudah dijalankan di Malaysia, termasuk vaksin enam serangkai.

Menurut Dr Nordin, ia merangkumi difteria, pertussis (batuk kokol), tetanus (kancing gigi), poliomyelitis (polio), hepatitis B dan heamophilus influenza jenis B.

"Sebenarnya, vaksin enam serangkai ini sudah agak lama diguna pakai di Malaysia. Ia mula digunakan di fasiliti kesihatan swasta seawal 2013.

"Pada 2020, vaksin ini diperkenalkan di semua klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di seluruh negara.

"Perubahan ini melalui pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan di bawah program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak," katanya.

PENGHIDAP penyakit polio boleh lumpuh kekal.
PENGHIDAP penyakit polio boleh lumpuh kekal.

Dr Nordin berkata, vaksin enam serangkai ini diperkenalkan bagi menggantikan vaksin lima serangkai yang mula diperkenalkan pada 2008.

Menurut Dr Nordin, empat dos vaksin enam serangkai diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua bulan (dos pertama), tiga bulan (dua kedua), lima bulan (dos ketiga) dan 18 bulan (dos penggalak).

"Tujuan kerajaan memperkenalkan program Imunisasi Kebangsaan adalah untuk memastikan rakyat, khususnya kanak-kanak, dapat menjalani kehidupan secara sihat dan mencapai pertumbuhan yang optimum.

"Pada masa ini, capaian bagi vaksin enam serangkai amat memberangsangkan. Namun begitu, masyarakat masih perlu berhati-hati kerana wabak yang mengancam nyawa boleh menular pada waktu tidak dijangka," katanya.

Kata Dr Nordin, tidak dinafikan masih ada segelintir ibu bapa yang enggan anak mereka divaksin kerana beberapa perkara.

HEPATITIS B mengakibatkan radang hati, kegagalan hati dan kematian.
HEPATITIS B mengakibatkan radang hati, kegagalan hati dan kematian.

"Sebab utama mereka menolak vaksin adalah kerana salah faham terhadap vaksin dibekalkan oleh kerajaan, mereka tidak mendapat maklumat yang jelas berkaitan vaksin.

"Berdasarkan beberapa kes yang saya temui, mereka terpengaruh dengan maklumat palsu atau separa benar yang disampaikan oleh golongan menolak vaksin kerana meragui bahan terkandung dalam vaksin berkenaan.

"Sebab lain ialah mereka mempercayai vaksin boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan seperti menyebabkan sawan atau terencat akal. Perkara ini sering dimomokkan di media sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Ada juga yang berpendirian tidak mahu anaknya mengambil vaksin kerana generasi terdahulu tidak mengambil vaksin dan mereka selamat daripada sebarang jangkitan penyakit berjangkit," katanya.

HEAMOPHILUS influenza jenis B menyebabkan keradangan otak.
HEAMOPHILUS influenza jenis B menyebabkan keradangan otak.

Dr Nordin menegaskan, vaksin enam serangkai adalah selamat dan berkesan. Seperti vaksin lain yang berdaftar di Malaysia, kesan advers susulan imunisasi (AEFI), vaksin itu dipantau oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM.

"Sejak digunakan di fasiliti kesihatan swasta pada 2013 dan fasiliti kesihatan kerajaan pada 2020, tiada sebarang isu keselamatan serius yang dilaporkan.

"Oleh itu, tidak wajar menjadikan anak kita sebagai eksperimen untuk menolak vaksin dan hanya mendapatkan perlindungan vaksin selepas anak dijangkiti penyakit berkenaan.

"Ibu bapa jangan bersikap seperti ini kerana penyakit itu berbahaya dan risiko kematian adalah tinggi jika lewat mendapatkan rawatan di hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 7:00 AM