TUJUH puluh empat peratus kematian di seluruh dunia disebabkan penyakit kronik.
TUJUH puluh empat peratus kematian di seluruh dunia disebabkan penyakit kronik.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Hampir 74 peratus kematian di seluruh dunia disebabkan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ia terdiri daripada penyakit jantung, angin ahmar, barah, kencing manis dan penyakit paru-paru kronik.

NCD turut dikenali sebagai penyakit kronik yang bilangan penghidapnya semakin meningkat setiap tahun di seluruh dunia.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), penyakit kronik ialah penyakit dialami pesakit dalam masa setahun atau lebih.

Ia memerlukan rawatan perubatan berterusan atau mengehadkan aktiviti seharian atau kedua-duanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan, lebih

tiga perempat daripada semua kematian penyakit kronik dan 86 peratus daripada 17 juta orang meninggal dunia sebelum berumur 70 tahun berlaku di negara berpendapatan rendah serta sederhana.

Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Muhamad Rafiqi Hehsan berkata, penyakit kronik berpunca daripada empat faktor utama iaitu penggunaan tembakau, kurang aktiviti fizikal, pengambilan alkohol dan diet tidak sihat.

Menurutnya, kesan daripada faktor itu mendorong ramai pesakit kronik mencari rawatan alternatif iaitu perubatan komplementari dan alternatif (CAM) untuk merawat penyakit kronik dihidapinya di samping aspek penjagaan kesihatan sepanjang hayat.

"CAM adalah sebarang prosedur perubatan yang berlainan standard normal dengan perubatan alopati.

"Perubatan komplementari boleh digabungkan dengan rawatan perubatan konvensional. Perubatan alternatif hanya khusus kepada rawatan selain daripada rawatan konvensional atau alopati," katanya.

Dr Muhamad Rafiqi berkata, Pusat Perubatan Komplimentari dan Alternatif Kebangsaan (NCCAM) mengklasifikasikan CAM kepada lima kumpulan utama iaitu produk semula jadi, ubat minda-badan, amalan manipulatif dan berasaskan badan, terapi tenaga serta keseluruhan sistem perubatan.

"Amalan ini dipengaruhi dengan umur, jantina, tahap pendidikan, pendapatan dan faktor sosiobudaya masyarakat.

"Menurut WHO, CAM merangkumi pelbagai pendekatan, pengetahuan yang membabitkan kimia, mineral, haiwan, senaman fizikal dan penyembuhan rohani.

"Ia boleh digunakan secara individu atau sebagai gabungan bagi mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan, khusus untuk pengesanan, penjagaan atau pencegahan penyakit," katanya.

Dr Muhamad Rafiqi berkata, satu kajian pada 2010 melaporkan bahawa hampir 70 peratus penduduk Malaysia menggunakan CAM sepanjang hayat mereka.

Katanya, satu kajian sistematik pada 2022 menunjukkan kekerapan yang tinggi bagi pesakit kronik di Malaysia mengamalkan CAM, terutama pesakit darah tinggi, barah dan kencing manis.

RAWATAN alternatif iaitu CAM menjadi pilihan rawatan pesakit kronik.
RAWATAN alternatif iaitu CAM menjadi pilihan rawatan pesakit kronik.

"Kelazimannya daripada 49.4 hingga 85.1 peratus dalam kalangan pesakit darah tinggi, pesakit kencing manis (31.7 hingga 62.7 peratus), pesakit barah (14 kepada 70.2 peratus) dan pesakit hiperkolesterolemia (50.6 kepada 53.3 peratus).

"Kajian juga menunjukkan, pesakit asma dan angin ahmar yang mengikuti program pemulihan pesakit luar di hospital, merekodkan kelaziman penggunaan CAM sebanyak 61.1 dan 66 peratus," katanya.

Beliau berkata, jenis CAM paling biasa digunakan untuk merawat penyakit kronik, sebagaimana dilaporkan dalam kajian terpilih ialah biologi atau produk semula jadi.

"Contohnya seperti bawang putih, madu, kurma dan vitamin. Juga dalam bentuk pelbagai herba seperti misai kucing, gamat serta momordicachaantia.

PESAKIT barah di Malaysia turut mengamalkan rawatan CAM.
PESAKIT barah di Malaysia turut mengamalkan rawatan CAM.

"Kemudian diikuti dengan sistem manipulatif dan berasaskan badan (urutan tradisional, refleksologi), pendekatan minda (doa, meditasi, yoga). Paling kurang adalah terapi tenaga serta keseluruhan sistem perubatan (akupunktur dan homoeopati).

"Biologi dan produk semula jadi digunakan terutama oleh pesakit barah, darah tinggi, kencing manis, asma dan hiperkolesterolemia sebagai pilihan utama mereka sebagai rawatan alternatif berbanding yang lain.

"Pesakit angin ahmar pula banyak menggunakan urutan tradisional, homeopati dan tradisional perubatan Cina untuk merawat penyakit dihidapi," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Zulkifli Dahalan berkata, masyarakat Melayu percaya bahawa kaedah urutan boleh meningkatkan peredaran dan nada otot.

Ini dapat mempercepatkan proses penyembuhan pesakit angin ahmar.

DR Muhamad Rafiqi
DR Muhamad Rafiqi

Beliau berkata, oleh kerana tempoh rawatan dan penyakit berpanjangan seperti darah tinggi, kencing manis dan barah, mereka yang menghidap penyakit kronik cenderung terbabit dalam penggunaan rawatan alternatif.

"Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi pesakit dalam memilih rawatan CAM sebagai rawatan untuk penyakit mereka.

"Persepsi dan kepercayaan dinyatakan dalam banyak kajian mengenai perkara ini terhadap rawatan penyakit kronik adalah mereka beranggapan rawatan ini berkesan dan selamat serta mempunyai sedikit atau tiada kesan sampingan," katanya.

Menurutnya, CAM juga mudah tersedia, boleh diakses dan harga berpatutan.

Kepercayaan serta persepsi itu akhirnya membawa kepada kepatuhan yang lemah bagi ubat konvensional ditetapkan oleh petugas kesihatan.

"Walaupun saling melengkapi, produk herba khususnya, dipercayai tidak berbahaya dalam kalangan pengguna, sebenarnya mempunyai kesan sampingan dan berpotensi menyebabkan interaksi dadah.

"Sebilangan besar mereka menggunakan rawatan berasaskan CAM mendapat maklumat daripada rakan dan ahli keluarga atau pengetahuan yang diturunkan oleh budaya atau amalan daripada satu generasi ke generasi lain tanpa sebarang bukti sokongan," katanya.

Beliau berkata, satu kajian pada 2017 melaporkan bahawa penyebab utama 52 peratus daripada orang dewasa di Malaysia memilih CAM adalah daripada cadangan rakan dan ahli keluarga, berdasarkan pengalaman peribadi mereka menggunakan CAM.

"Memberitahu kepada kepada petugas kesihatan berkaitan pengambilan CAM adalah perlu. Ini bagi mengelakkan kesan sampingan dan interaksi yang berbahaya.

"Kesannya, kebanyakan pesakit kronik ini akhirnya kembali semula ke rawatan konvensional atau alopati dengan pelbagai kesan komplikasi berpanjangan yang tiada harapan sembuh," katanya.

Jelasnya lanjut, masyarakat sebenarnya sangat terbuka dengan pelbagai bentuk rawatan yang ada, sama ada rawatan alopati atau komplimentari dan alternatif.

"Namun, bentuk rawatan yang ada ini, perlulah selari dengan diagnosis dilakukan oleh pakar bertauliah.

"Ini supaya masyarakat tidak mengelak daripada proses rawatan sebenar. Kefahaman masyarakat terhadap CAM adalah penting

agar kesan sampingan yang berpanjangan tidak menyebabkan penyakit sedia ada bertambah teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 7:00 AM