d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kongres Patalogi Digital menjadi medan kepada pakar daripada pelbagai bidang dan pihak berkepentingan dalam industri di seluruh dunia berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai perkembangan pesat bidang patologi anatomi digital.

Patologi anatomi digital ialah satu daripada tujuh disiplin di bawah perubatan makmal yang cukup meluas.

Ia turut membabitkan patologi forensik, hematologi, patologi kimia, mikrobiologi, imunologi dan genetik.

Berdasarkan penelitian, patologi anatomi berjalan seiring dan secara jelasnya, patologi anatomi digital membawa banyak manfaat serta hadir dengan pelbagai cabaran yang belum ditangani.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, isu berkaitan patologi anatomi digital atau sebaliknya mungkin kelihatan tidak penting.

Bagaimanapun, pakar patologi sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam pengenalpastian atau diagnosis penyakit.

Patologi anatomi ditakrifkan sebagai sains mengenai sebab dan akibat sesuatu penyakit, terutama cabang perubatan makmal yang berkaitan dengan ujian sampel tisu badan untuk diagnostik atau forensik.

Melalui cara inilah, pakar patologi memenuhi keperluan setiap disiplin dan pengkhususan perubatan dengan kepakaran mereka.

Bagaimanapun, Malaysia hanya mempunyai kira-kira 300 pakar patologi anatomi yang berkhidmat untuk 32.7 juta penduduk.

Presiden Akademi Patologi Anatomi Antarabangsa (Bahagian Malaysia) Prof Dr Nor Hayati Othman berkata, pakar patologi anatomi pada masa ini terlalu terbeban kerana menguruskan banyak kes pesakit.

Menurutnya, patologi anatomi digital meletakkan kepakaran pakar patologi ke hadapan dengan menjadi lebih cekap.

Ini membolehkan proses diagnosis dilakukan dengan lebih cepat dan tepat.

"Akhirnya, ia akan memberi manfaat kepada pesakit yang secara tidak langsung meringankan beban tugas pakar patologi.

"Semua makmal patologi anatomi di Malaysia, kini melanggan perkhidmatan patologi anatomi digital dalam bentuk slaid QAP luaran.

"Tetapi ketika ini, hanya terdapat satu makmal patologi anatomi digital bersepadu sepenuhnya di Malaysia iaitu di Hospital Umum Sarawak," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun, keupayaannya ketika ini tidak digunakan sepenuhnya kerana makmal berkenaan masih menggunakan mikroskop konvensional untuk memeriksa slaid dalam aktiviti diagnostik rutin.

Dr Nor Hayati berkata, matlamat sekarang adalah untuk memperbanyakkan jabatan patologi anatomi supaya menerima penggunaan patologi anatomi digital dengan cara lebih komprehensif dan bersepadu.

"Hakikatnya, perkhidmatan patologi anatomi digital masih berada di peringkat awal, bukan sahaja di Malaysia bahkan di kebanyakan negara.

"Hala tujunya juga masih tidak jelas tanpa dasar atau garis panduan kebangsaan untuk menentukan penggunaan dan pelaksanaannya.

"Dasar ini penting untuk membantu menangani pelbagai pertimbangan dan implikasi yang membabitkan patologi anatomi digital," katanya.

Jelasnya, ini termasuk daripada aspek teknikal seperti jenis peralatan, perisian, format imej, keterhubungan dan penyimpanan data, kepada keperluan latihan serta pelbagai perkara.

"Perkara ini membabitkan etika, khususnya berkenaan pengumpulan, privasi data dan semua risiko serta implikasi undang-undang berkaitan," katanya.

Pro Naib Canselor Penyelidikan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Prof Datuk Lokman Hakim Sulaiman berkata, dasar itu sangat penting untuk menentukan hala tuju patologi anatomi digital.

"Kita bertuah kerana sudah ada kemahuan politik untuk melaksanakan transformasi dalam penjagaan kesihatan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia memandang serius perkara ini.

"Dasar kebangsaan adalah langkah pertama ke arah mewujudkan keyakinan dalam kalangan pengamalnya.

"Pada masa ini, kebanyakan mereka yang memperjuangkan pakar patologi digital bukan ahli patologi," katanya.

Beliau berkata, perkara ini mesti diubah dan pembangun perisian perlu memahami cara pakar patologi bekerja serta membabitkan mereka dalam proses berkenaan.

"Kami sebagai pakar patologi mesti mengambil tanggungjawab terhadap patologi anatomi digital untuk membolehkannya berfungsi. Bermula dengan menyemak kurikulum dan melatih pakar patologi baharu supaya mereka juga mempunyai kemahiran digital.

"Keseluruhan industri penjagaan kesihatan kini sudah pun bergerak ke arah digitalisasi dan ia sememangnya tidak dapat dielakkan," katanya.

Tambahnya, pendidik, pengamal penjagaan kesihatan, usahawan, penggubal dasar dan semua sektor perlu menyokong peralihan itu.

Lokman Hakim berkata, untuk memacu bidang ini ke hadapan, kerjasama di antara industri sangat penting.

Katanya, pendidikan dan latihan memainkan peranan utama dalam membina generasi patologi, pembangun perisian, juruteknik serta pakar lain pada masa hadapan yang akan menggunakan dan mengekalkan infrastruktur patologi anatomi digital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 6:02 AM