UBAT pelangsingan badan mengandungi sisa ubat yang boleh membahayakan kesihatan pengguna.
UBAT pelangsingan badan mengandungi sisa ubat yang boleh membahayakan kesihatan pengguna.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Gaya hidup sidentari dan 'mewah' dalam pemakanan tidak sihat menyebabkan ramai rakyat Malaysia terjerat dengan masalah obesiti.

Ini dibuktikan berdasarkan Facebook Kementerian Kesihatan Malaysai (KKM), Laporan Semakan Populasi Dunia 2019 yang menunjukkan kadar obesiti di Malaysia tertinggi di Asia Tenggara iaitu 15.6 peratus diikuti Brunei (14.1 peratus), Thailand (10 peratus) dan Indonesia (6.9 peratus).

Maklumat daripada Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2019 pula menunjukkan 50.1 peratus daripada orang dewasa di Malaysia mengalami obesiti.

Namun begitu, ada yang enggan melakukan aktiviti fizikal untuk menurunkan berat badan.

Sebaliknya mereka memilih jalan pintas melalui pengambilan produk pelangsingan badan bagi tujuan berkenaan.

Ditambah pula 'taktik' pemasaran produk yang menonjolkan testimoni pengguna berjaya menguruskan badan dalam tempoh singkat, begitu mempengaruhi pengguna lain untuk menggunakan produk itu.

Ini menyebabkan permintaan terhadap produk pelangsingan badan meningkat mendadak kebelakangan ini.

Calon Doktor Kesihatan Awam (DrPH) Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Erwan Ershad Ahmad Khan berkata, trend ini membimbangkan kerana pengguna tidak mengetahui tindakan bergantung kepada produk itu mendedahkan risiko masalah kesihatan.

Dr Erwan Ershad berkata, ini kerana pengeluar produk cenderung menambah sisa ubat yang boleh membahayakan kesihatan pengguna.

"Tujuannya bagi meningkatkan keberkesanan produk mereka iaitu menurunkan berat badan pengguna.

KURUS dengan cara betul iaitu diet dan mengamalkan pemakanan sihat.
KURUS dengan cara betul iaitu diet dan mengamalkan pemakanan sihat.

"Pengguna perlu tahu beberapa ubat yang dikaitkan dengan penurunan berat badan sudah dilarang penggunaannya di Malaysia seperti 'sibutramina'.

"Manakala yang lain disenaraikan sebagai ubat terkawal dan hanya boleh diperoleh melalui preskripsi di dispensari (tempat mendapatkan ubat) berdaftar. Ini termasuk 'fentermina', 'metformin' dan 'furosemide'," katanya.

Dr Erwan Ershad berkata, sibutramina menyebabkan penurunan berat badan dengan menyekat pengambilan semula 'neurotransmitter' serotonin dan norepinefrin pada hipotalamus.

"Ini akan meningkatkan rasa kenyang, mengurangkan selera makan dan pengambilan makanan yang akhirnya menyebabkan turun berat badan.

"Bagaimanapun, ia dikaitkan dengan kesan negatif kepada sistem kardiovaskular seperti degupan jantung laju dan tidak sekata.

"Kesan paling teruk ialah serangan jantung hingga membawa kepada larangan penggunaan ubat berkenaan di Malaysia sejak 2010," katanya.

Kata Dr Erwan Ershad, fentermina adalah ubat B-fenetilamina yang merangsang pembebasan hormon noradrenalin dalam sistem saraf pusat.

"Ia memberi kesan terhadap pengurangan selera makan melalui pengaktifan reseptor B-adrenergik.

PENGAMBILAN ubat pelangsingan badan sebagai jalan pintas cepat kurus.
PENGAMBILAN ubat pelangsingan badan sebagai jalan pintas cepat kurus.

"Metformin pula adalah ubat yang secara tradisionalnya digunakan sebagai ubat untuk mengawal gula dalam darah.

"Namun, metformin juga didapati mempunyai kesan yang signifikan terhadap penurunan berat badan," katanya.

Selain itu, kata Dr Erwan Ershad, 'furosemide' adalah ubat yang biasanya digunakan sebagai ejen diuretik untuk pesakit darah tinggi dan kegagalan jantung.

"Furosemide juga didapati mempunyai kesan penurunan berat badan, berdasarkan kajian haiwan melalui kehilangan cairan badan yang ketara.

"Kebimbangan timbul mengenai keselamatan penggunaan ubat-ubatan ini dalam produk pelangsingan badan, kerana pengambilan tanpa pemantauan dos boleh menyebabkan kesan buruk yang serius termasuk kematian.

"Pemantauan produk pelangsingan badan tidak berdaftar dan produk disenaraikan sebagai makanan, dilakukan melalui pengujian rawak terhadap produk tersedia di pasaran, pelaporan kesan buruk oleh pengguna dan juga berdasarkan pengawasan khabar angin," katanya.

Jelasnya, ini memerlukan pengambilan sampel produk pelangsingan badan buatan tempatan dan diimport, lalu menganalisisnya untuk mengenal pasti penggunaan sisa ubat.

Dr Erwan Ershad berkata, sampel dikumpul daripada premis peruncitan tempatan dan platform beli-belah dalam talian serta media sosial seperti Shopee, Lazada, Facebook, TikTok juga Instagram.

"Produk import yang disenaraikan sebagai ubat akan dirujuk ke bahagian penguatkuasaan farmasi untuk ujian selanjutnya.

PEMAKANAN tidak sihat menyebabkan ramai obes.
PEMAKANAN tidak sihat menyebabkan ramai obes.

"Malaysia juga bergantung kepada ujian yang dilakukan oleh negara lain terhadap produk pelangsingan badan berkenaan," katanya.

Menurutnya, Akta Jualan Dadah 1952 diwujudkan bagi mengawal ubat-ubatan dan barangan berasaskan makanan atau minuman yang dicemari dengan ubat-ubatan terlarang atau ubat-ubatan terkawal.

Katanya lagi, bagi produk pelangsingan badan tidak berdaftar dengan sisa dadah, individu yang menjualnya boleh didenda sehingga RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Bagi syarikat, ia boleh didenda sehingga RM50,000.

"Jika berlaku pemalsuan produk pelangsingan badan dengan sisa ubat selepas permohonan awal diluluskan, individu atau syarikat boleh didenda hingga RM3,000 atau penjara setahun," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam USM Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain berkata, keseriusan kerajaan dalam mengawal dadah berbahaya ini dapat dilihat dengan wujudnya Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta penubuhan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) 1985.

Menurut Dr Nik Rosmawati, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) adalah sekretariat yang bertanggungjawab memastikan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk farmaseutikal melalui pendaftaran serta pelesenan.

"KKM juga menyediakan beberapa kemudahan bagi memudahkan pelanggan memeriksa pendaftaran produk pelangsingan badan sebelum digunakan," katanya.

Ia boleh diperiksa dengan melayari http://npra.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-78835400.

"Aduan mengenai produk yang disyaki atau kesan buruk produk boleh dikemukakan ke bahagian perkhidmatan farmasi melalui laman sesawang atau talian terus.

"Kenyataan akhbar berkaitan produk yang dilarang juga dikeluarkan secara berkala untuk memberi amaran kesihatan kepada orang ramai.

"Margin keuntungan tinggi, jika dibandingkan dengan hukuman yang mungkin dikenakan, boleh menjadi sebab mengapa kesalahan dilakukan berulang kali," katanya.

Dr Nik Rosmawati berkata, pada masa sama, tiada pemantauan ketat terhadap produk yang dijual melalui platform atas talian

Kata Dr Nik Rosmawati, beberapa platform atas talian mengkehendaki penjual hanya menjual produk berdaftar.

Bagaimanapun, di platform lain, terutama di media sosial, aktiviti terbabit tidak boleh dikawal.

"Penjual boleh membuat profil palsu untuk aktiviti perniagaan mereka dan ini menyukarkan pihak berkuasa mengesan mereka.

"Pengaruh daripada selebriti dan selebriti media sosial (instafamous) juga secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan penjualan produk pelangsingan badan yang berbahaya ini.

"Ada kalanya, pengilang dan pengeluar menjadikan mereka sebagai duta produk bagi menarik pelanggan," katanya.

Kata Dr Nik Rosmawati, penggunaan sisa ubat dalam produk pelangsingan mesti dipantau rapi demi memastikan keselamatan pengguna terjamin.

"Penggunaan bahan terlarang dalam produk pelangsingan badan boleh menyebabkan banyak komplikasi, mengancam kesihatan dan nyawa pengguna.

"Oleh itu, tindakan lebih agresif dalam pemantauan dan pengawasan sisa ubat-ubatan bagi produk pelangsingan badan, perlu diberi keutamaan oleh pihak berkuasa," katanya.

Pengguna pula perlu lebih berhati-hati apabila membeli sebarang produk pelangsingan badan.

"Teliti dahulu kandungan bahan dalam setiap produk. Langkah yang paling bijak adalah membuat semakan di laman sesawang Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 7:00 AM