MESKIPUN tumpuan kini terhadap Covid-19, kepentingan vaksinasi lain tidak boleh diabaikan dan pemberiannya perlu diteruskan.
MESKIPUN tumpuan kini terhadap Covid-19, kepentingan vaksinasi lain tidak boleh diabaikan dan pemberiannya perlu diteruskan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Keperluan terhadap vaksin sangat penting dan keberkesanannya diakui dapat mengelakkan jangkitan penyakit berbahaya disebabkan virus atau bakteria yang boleh mengakibatkan kematian.

Vaksin mengandungi antigen iaitu bahan aktif yang merangsang sistem daya lawan jangkitan (imun) untuk menghasilkan antibodi bagi melawan penyakit.

Ketika ini, fokus lebih tertumpu kepada vaksin Covid-19 berikutan ramai sudah dijangkiti dan terkorban akibat jangkitan virus ganas berkenaan.

Namun, kepentingan vaksinasi lain tidak boleh diabaikan dan pemberian vaksin itu perlu diteruskan agar masyarakat dapat dilindungi daripada penyakit yang boleh dicegah seperti barah pangkal rahim.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), pandemik Covid-19 menyebabkan 23 juta kanak-kanak kehilangan vaksinasi asas manakala 1.6 juta kanak-kanak perempuan tidak mendapat vaksin Virus Papiloma Manusia (HPV) tahun lalu.

Pakar Ginekologi Onkologi Pulau Pinang Dr Suresh Kumarasamy berkata, perkhidmatan imunisasi rutin itu terjejas berkemungkinan disebabkan beberapa faktor seperti kebimbangan jangkitan, sekatan perjalanan atau akses kepada penjagaan kesihatan yang terhad ekoran pandemik.

PENTING mengambil vaksin polio bagi mengelakkan kelumpuhan kekal.
PENTING mengambil vaksin polio bagi mengelakkan kelumpuhan kekal.

Menurut Dr Suresh, sebelum penularan Covid-19, vaksin sangat penting dalam memerangi penyakit di peringkat global seperti cacar dan polio.

"Dianggarkan dua hingga tiga juta nyawa diselamatkan setiap tahun hasil keberkesanan vaksinasi. Ini tidak boleh disangkal dan adalah salah satu intervensi kesihatan yang paling berjaya serta menjimatkan kos.

"Dilaporkan, setiap imunisasi kanak-kanak menghasilkan faedah ekonomi sebanyak AS$44 (RM184), termasuk penjimatan kos perubatan dan penyusutan produktiviti.

"Oleh itu, vaksinasi rutin diperlukan untuk mengurangkan kematian akibat penyakit barah pangkal rahim," katanya.

Dr Suresh berkata, tahun lalu, penyakit barah pangkal rahim meragut nyawa 342,000 wanita di seluruh dunia.

PENYAKIT polio menjadi tumpuan global untuk dihapuskan sebelum kemunculan Covid-19.
PENYAKIT polio menjadi tumpuan global untuk dihapuskan sebelum kemunculan Covid-19.

Kata Dr Suresh, angka ini dijangka meningkat pada tahun akan datang sekiranya tindakan drastik tidak diambil.

"Di Malaysia, barah pangkal rahim adalah barah kedua paling biasa dihidapi wanita berusia 15 hingga 44 tahun pada 2018 walaupun penyakit ini boleh dicegah.

"WHO menetapkan matlamat global untuk menghapuskan barah pangkal rahim menjelang 2030.

"Antara sasarannya ialah 90 peratus kanak-kanak perempuan berusia sembilan hingga 15 tahun diberi vaksin penuh terhadap HPV," katanya.

Beliau berkata, untuk mencapai sasaran ini, vaksinasi HPV menerusi Program Imunisasi Kebangsaan dan program imunisasi HPV di sekolah adalah penting bagi memerangi penyakit berkenaan.

KANAK-KANAK menghidap penyakit cacar.
KANAK-KANAK menghidap penyakit cacar.

"HPV menyebabkan kira-kira 99 peratus daripada keseluruhan kes barah pangkal rahim.

"Sebilangan besar individu yang aktif aktiviti seksual dijangkiti HPV, sebaik sahaja melakukan aktiviti terbabit.

"Walaupun kebanyakan jangkitan HPV boleh hilang dengan sendirinya, jangkitan yang tidak hilang akan berkembang menjadi barah pangkal rahim," katanya.

Dr Suresh menjelaskan, kini terdapat tiga vaksin HPV yang diluluskan untuk digunakan di Malaysia iaitu vaksin HPV bivalen, vaksin HPV kuadrivalen dan vaksin HPV 9-valen.

Kata Dr Suresh, ketiga-tiganya melindungi daripada jenis HPV 16 dan 18, yang menyebabkan 70 peratus daripada barah rahim.

DR SURESH
DR SURESH

"Vaksin 9-valen pula memberi perlindungan terhadap lima jenis HPV tambahan yang menyebabkan 20 peratus daripada barah pangkal rahim.

"HPV 52 dan 58 adalah jenis HPV yang paling biasa dijumpai pada wanita Malaysia dan dilindungi oleh vaksin 9-valen.

"Selain perlindungan terhadap barah pangkal rahim, vaksin HPV juga dapat mencegah barah faraj dan vulva, ketuat faraj serta barah dubur.

"Malah, lelaki muda atau berumur juga menerima vaksin HPV kerana ia boleh melindungi mereka daripada jangkitan HPV dan penyakit berkaitan dengannya.

"Di samping itu, ia membantu mengurangkan penularan dan meningkatkan imuniti kelompok," katanya.

INFO mengenai barah pangkal rahim.
INFO mengenai barah pangkal rahim.

Dr Suresh berkata, perang melawan barah pangkal rahim perlu kekal menjadi keutamaan walaupun negara sedang giat memerangi Covid-19.

Katanya, selain vaksinasi yang menjadi tonggak utama dalam pencegahan barah pangkal rahim, saringan untuk penyakit ini juga perlu diteruskan.

"Wanita dengan gejala diragui seperti pendarahan faraj yang tidak teratur atau pendarahan selepas hubungan seksual perlu segera berjumpa pakar sakit puan.

"Ini bagi memastikan ia bukan barah pangkal rahim atau sebarang masalah patologi serius yang lain," katanya.

Dr Suresh berkata, oleh kerana program imunisasi HPV di sekolah terhenti disebabkan pandemik, terdapat keperluan untuk meneruskan program vaksinasi atau lebih banyak program berasaskan komuniti.

"Ini bagi memastikan jurang besar yang wujud akibat Covid-19 dapat dikecilkan.

"Pada masa sama, ibu bapa perlu mematuhi jadual imunisasi anak agar kesihatan dan kesejahteraan mereka dapat dilindungi.

"Pandemik Covid-19 memberikan satu peringatan penting kepada kita mengenai kepentingan vaksin dan betapa beruntungnya perkhidmatan kesihatan memiliki kelengkapan peralatan untuk mencegah penyakit berbahaya seperti barah pangkal rahim," katanya.

Oleh itu, kata Dr Suresh, amat penting memanfaatkan kemudahan itu demi memastikan kesihatan dan keselamatan anak pada tahap yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:20 AM