Nor 'Asyikin Mat Hayin


RAMAI menyokong penggunaan Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19 dan beranggapan ia wajar digunakan sepanjang pandemik ini.

Bahkan, ada yang mendakwa, menjadi kesalahan jenayah apabila tidak menggunakan Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19.

Satu lagi kenyataan agak baharu dengan menyatakan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang meluluskan ubat-ubatan tidak perlu menggunakan percubaan terkawal secara rawak (RCT).

Ini bermakna perawat sudah boleh menggunakan Ivermectin hanya berdasarkan bukti kukuh (substantial evidence).

Pegawai Perubatan Klinik Assalam Bangi Dr Mohd Syihabuddin Mohd berkata, berkaitan garis panduan FDA, memang terdapat garis panduan berkenaan bukti yang kukuh.

Menurutnya, pertama, garis panduan ini adalah untuk kegunaan industri sejak 1960-an dikeluarkan oleh kongres di Amerika Syarikat dan terdapat perubahan demi perubahan sepanjang tempoh itu hingga kini.

"Kemudian, ia dikumpul dalam satu dokumen dinamakan 'Demonstrating Substantial Evidence of Effectiveness for Human Drug and Biological Products Guidance for Industry'.

"Saya mendapat maklumat daripada satu webinar dan mendapati ada salah guna dalam garis panduan FDA ini.

"Kononnya, ada dakwaan mengatakan bahawa FDA tidak memerlukan satu kajian berkualiti iaitu RCT dalam garis panduan ini. Adakah dakwaan itu betul?" katanya.

Menurut Dr Mohd Syihabuddin, Seksyen 2 dan 3 garis panduan FDA ini ada menggariskan dengan jelas, satu bentuk kajian mempunyai 'randomization', 'blinding', analisis terperinci dan sebagainya yang ia membawa maksud sebuah kajian mewakili RCT.

"Pada pendapat saya, menuduh FDA tidak memerlukan RCT dalam sesuatu penyiasatan ubat adalah satu dakwaan yang tidak berasas," katanya.

STRUKTUR kimia Avermectin.
STRUKTUR kimia Avermectin.

Dr Mohd Syihabuddin berkata, golongan yang menggunakan garis panduan FDA ini merujuk kepada Seksyen 4B bahagian tiga, ia ada menyatakan mengenai 'compelling evidence' apabila berlaku keadaan kita bertemu dengan hanya satu kajian yang mengatakan Ivermectin berkesan dalam rawatan Covid-19.

"Apabila meneliti secara lebih menyeluruh, apa yang saya faham ialah golongan menyokong Ivermectin mahu merujuk penggunaan ubat ini daripada sudut pencegahan jangkitan Covid-19 dan merujuk kepada kajian Shouman.

"Saya ada menghubungi pakar perubatan yang mengetuai kajian dimaksudkan mereka, dari Universiti Zagazig, Mesir, Prof Waheed Shouman, untuk bertanyakan mengenai kajian RCT dilakukannya," katanya.

Menurut Dr Mohd Syihabuddin, subjek kajian itu adalah kontak rapat kepada pesakit indeks (pesakit Covid-19) yang disahkan dengan ujian 'Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction' (RT-PCR).

Kata beliau, dalam kalangan kontak rapat ini, ada yang mengambil Ivermectin dan sebaliknya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

"Kajian itu pula untuk melihat, adakah ubat berkenaan boleh mengelakkan gejala Covid atau sebaliknya, sebagai membawa maksud adakah Ivermectin boleh mencegah jangkitan Covid-19.

"Waheed turut melakukan imbasan tomografi beresolusi tinggi (HRCT) pada paru-paru dan mendapati Ivermectin berkesan merawat pesakit Covid-19," katanya.

Dr Mohd Syihabuddin berkata, bagaimanapun, terdapat masalah dengan kajian dilakukan Waheed.

Kata Dr Mohd Syihabuddin, pertama kajian itu tidak menggunakan ujian RT-PCR.

Ada orang berhujah mengatakan RT-PCR hanyalah 'Emergency Use Authorization' (EUA) dan bukan standard yang tepat.

"Ujian RT-PCR mempunyai ketepatan sehingga 99 peratus apabila ujian ini dilakukan tiga kali berbanding HRCT iaitu 87 peratus.

"Berdasarkan sebuah kajian kultur virus, daripada 83 sampel kajian, didapati ketepatan RT-PCR adalah 100 peratus," katanya.

Menurut Dr Mohd Syihabuddin, pihak berkaitan tidak boleh merujuk Shouman sebagai satu-satunya kajian pencegahan Covid-19 menggunakan Ivermectin dengan merujuk Seksyen 4b(3) apabila berjumpa hanya satu kajian yang kukuh.

Katanya, ini kerana terdapat satu kajian lain di Singapura yang menggunakan Ivermectin dalam sudut pencegahan membabitkan lebih 3,000 pekerja asing dalam sebuah asrama 40 tingkat.

"Dalam kajian ini, empat jenis ubat dikaji iaitu 'hydroxychloroquine', vitamin C, 'povidone iodine throat spray' dan Ivermectin. Dapatan kajian mendapati Ivermectin tidak berkesan.

IVERMECTIN sesuai untuk haiwan dijangkiti parasit.
IVERMECTIN sesuai untuk haiwan dijangkiti parasit.

"Kenyataan mengatakan bahawa jika menurut FDA, maka boleh digunakan sesuatu rawatan itu berdasarkan bukti kukuh hanya boleh diguna pakai jika tiada bukti yang bertembung.

"Hasil kajian Univesiti Zagazig bertembung dengan hasil kajian dari Singapura yang menunjukkan Ivermectin tidak berkesan sebagai pencegahan jangkitan Covid-19," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry berkata, asal usul Ivermectin pada awalnya ditemui dalam pencarian antibiotik baharu sebagai bahan untuk penggalak pertumbuhan haiwan ternakan dan kesesuaian sama ada bahan kimia baharu ini boleh menjadi antibiotik umum atau tidak.

Jelasnya, sebenarnya, penyelidikan awal dijalankan di Jepun dan ia adalah molekul atau bahan kimia ubat paling awal ditemui di negara matahari terbit itu.

"Penyelidik menjumpai satu jenis kulat (streptomyces avermitilis) yang hanya diperoleh di tanah Jepun dan ia menghasilkan satu bahan boleh bertindak terhadap mikro organisme lain.

"Pembangunan molekul itu diteruskan melalui kerjasama 'Tokyo Kitasato Institute' dengan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat. Hasil kajian ini menemui molekul pertama iaitu Avermectin," katanya.

Beliau berkata, Prof Satoshi Omura dari Kitasato Institute yang menjumpai molekul Avermectin mendapati, walaupun molekul ubat ini hampir serupa dengan antibiotik seperti eritromisin atau antifungal, tidak dapat menunjukkan kesan Avermectin sebagai antibakteria serta antifungal.

"Ini mungkin punca utama mengapa Ivermectin tidak pernah didaftarkan sebagai antibiotik.

"Oleh itu, penggunaan Ivermectin ini lebih tertumpu sebagai antiparasit dan apabila diuji, memang inilah fungsi utama Ivermectin," katanya.

Dr Mohd Makmor berkata, Ivermectin diperkenalkan sebagai produk kesihatan haiwan pada 1981 kerana ia sangat berkesan untuk pelbagai infestasi parasit seperti cacing gelang, cacing peparu dan kutu.

"Kemudian, pada pertengahan 1970-an, penyakit tropika terabai menjadi agenda kepada komuniti perubatan antarabangsa.

"Contoh penyakit tropika terabai ialah masalah kecacingan filariasis. Pada masa itu, tidak ada syarikat farmaseutikal yang berminat mencari ubat untuk masalah ini kerana tidak ramai mengalaminya.

"Jika Ivermectin digunakan membabitkan penyakit ini, ia mungkin tidak memberi sebarang keuntungan kepada industri farmaseutikal," katanya.

Beliau berkata, kajian terhadap Ivermectin mula giat dilakukan pada 1978 terhadap kuda yang dijangkiti sejenis cacing dan terbukti ia sangat berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 7:00 AM