RAKYAT Malaysia menikmati snek sebagai sumber ketenangan.
RAKYAT Malaysia menikmati snek sebagai sumber ketenangan.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


TINJAUAN Mondelēz International (Malaysia) mendedahkan 75 peratus rakyat Malaysia menikmati snek sebagai sumber ketenangan bagi mengurangkan tekanan dan melapangkan fikiran.

Sementara itu, 40 peratus mengambil snek untuk mengalas perut di antara waktu makan.

Tinjauan itu turut berkongsi hanya 50 peratus berasakan kawalan kuantiti amat penting dan tiga daripada 10 rakyat Malaysia menganggap kandungan nutrisi dalam snek adalah penting.

Perubahan pengambilan snek dan corak pemakanan rakyat negara ini dipengaruhi dengan keadaan terpaksa 'berkurung' di rumah disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Bagi mendalami perubahan tabiat ini dan membudayakan amalan 'Snek Bijak' (Mindful Snacking), Mondelēz International (Malaysia) iaitu pengeluar snek terkemuka mengendalikan Kajian Pengguna 2021 mengenai 'Snek Bijak' dalam kalangan rakyat Malaysia meliputi pelbagai demografi dan kawasan.

Ketua Pemakanan Mondelēz International Southeast Asia, Lim Chain Yin berkata, misi syarikat adalah bagi memperkasa dan membudayakan tabiat pengambilan snek yang betul.

"Kami berazam membantu rakyat Malaysia berasa baik dengan snek pilihan mereka, sekali gus menyemai hubungan positif dengan makanan.

"Amalan 'Snek Bijak' tidak bermaksud individu perlu membuat pilihan antara pemakanan sihat atau mengelakkan snek.

"Sebaliknya, konsep ingin disampaikan ialah bagaimana mengunyah snek perlahan-lahan dan menikmati setiap suapan," katanya.

Beliau berkata, 'Snek Bijak' adalah satu pendekatan tingkah laku yang memfokuskan kepada cara makan dengan niat (bersebab) dan perhatian (peka).

RAMAI suka menikmati snek ketika menonton televisyen.
RAMAI suka menikmati snek ketika menonton televisyen.

"Bagi membudayakan tabiat positif 'Snek Bijak', panduan kuantiti dan ikon 'Snack Mindfull' pada bungkusan produknya disediakan.

"Ini bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai kuantiti yang betul dan kandungan kalori bagi setiap bahagian, memperkenalkan pek prabungkus 'kawalan kuantiti' kurang daripada 200 kilo kalori (kkal) setiap satu.

"Selain itu, melancarkan produk 'Better for You' dengan profil nutrisi dan ramuan yang dipertingkatkan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, tinjauan berkenaan turut mendapati 68 peratus rakyat Malaysia lebih suka menikmati snek secara bersendirian.

"Dalam pada itu, majoriti mendedahkan mereka lebih suka menikmati snek ketika menonton televisyen, melayari internet, bekerja atau belajar," katanya.

Sementara itu, Pakar Pemakanan, Dr Satvinder Kaur berkata, individu perlu peka kepada isyarat atau pencetus dalaman badan seperti 'saya lapar', 'saya kenyang' dan 'saya teringin hendak makan sesuatu yang manis, berperisa atau masam'.

"Apabila kita lebih peka kepada kehendak dan keperluan itu maka akan dapat menjalin hubungan lebih positif dengan makanan.

"Untuk mendapatkan pemakanan seimbang, boleh mengamalkan beberapa kaedah termasuk keseimbangan, kesederhanaan, variasi (BMV) dan konsep Suku Suku Separuh.

MENIKMATI snek secara bersendirian menjadi pilihan ramai.
MENIKMATI snek secara bersendirian menjadi pilihan ramai.

"Amalan pemakanan dan snek yang bijak bukan sahaja dapat mencegah makan berlebihan, malah kualiti diet keseluruhan akan bertambah baik sekiranya mengamalkan panduan pemakanan sihat," katanya.

Jelasnya, 'Snek Bijak' mendorong untuk mempertimbangkan sebab dan cara menikmati snek serta jenis snek dipilih.

"Amalan ini termasuk bahagikan snek kepada beberapa bahagian dan simpan yang selebihnya atau memilih bahagian prabungkus tunggal.

"Amalan kedua ialah kurangkan gangguan seperti menikmati snek sambil menonton televisyen atau terikat dengan telefon atau komputer.

"Seterusnya, peka kepada bau dan rasa setiap suapan, kunyah secara perlahan dan nikmati setiap suapan dengan sepenuhnya.

"Peka kepada tekstur snek dan amalan terakhir adalah habiskan setiap suapan sebelum suapan yang seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 6:30 AM