APABILA kaedah betul dilakukan luka lebih cepat kering. - FOTO Google
APABILA kaedah betul dilakukan luka lebih cepat kering. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Ada tiga situasi yang menyebabkan pesakit terpaksa mengambil keputusan berat merelakan kakinya dipotong.

Pertama, kematian tisu kaki sama ada disebabkan berlaku kekurangan aliran darah atau jangkitan bakteria yang serius.

Kedua, jangkitan kuman teruk yang sudah merebak ke bahagian atas kaki hingga boleh membahayakan nyawa pesakit.

Terakhir, kaki pesakit rosak kerana saluran darah hancur akibat kemalangan menyebabkan bekalan darah terputus dan anggota itu tidak dapat diselamatkan.

Oleh itu, pembedahan pemotongan kaki perlu dilakukan bagi mengelak terjadi pendarahan teruk yang boleh membahayakan nyawa pesakit.

Pakar Perunding Ortopedik Hospital Kemaman Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed berkata, aspek yang perlu diberikan perhatian ialah penjagaan selepas pemotongan kaki supaya luka pembedahan itu cepat sembuh.

Menurut Dr Ahmad Mahyuddin, penjagaan luka perlu dilakukan dengan baik bagi mengelakkan jangkitan kuman.

"Ada pesakit datang menemui saya kerana menghadapi masalah ini (tempat pembedahan dijangkiti kuman).

"Ia terjadi kerana pesakit tidak melakukan cucian luka di klinik berhampiran," katanya.

Dr Ahmad Mahyuddin berkata, pesakit yang menjalani pembedahan pemotongan kaki hanya berada di hospital selama dua atau tiga hari.

"Dalam tempoh itu, apabila luka pembedahan sudah sembuh atau kering atau bersih, pesakit dibenarkan pulang ke rumah. Maka cucian luka ini perlu diteruskan yang dilakukan di klinik berhampiran.

KERUSI roda adalah keperluan yang perlu disediakan di rumah. - FOTO Google
KERUSI roda adalah keperluan yang perlu disediakan di rumah. - FOTO Google

"Kerja mencuci luka perlu dilakukan setiap hari sehingga luka kering dan sembuh.

"Ada pesakit perlu dimasukkan semula ke wad kerana jahitan luka terbuka dan bernanah," katanya.

Dr Ahmad Mahyuddin berkata, dalam situasi seperti ini, ada kalanya pembedahan semula terpaksa dilakukan apabila keadaan luka terlalu teruk dan terdapat banyak nanah.

Secara tidak langsung proses penyembuhan bertambah lama.

"Sekiranya pesakit mengamalkan penjagaan yang betul (cuci luka di klinik), luka lebih cepat kering dan seterusnya jahitan boleh dibuka dalam tempoh di antara 10 hingga 14 hari," katanya.

Kata Dr Ahmad Mahyuddin, penjagaan seterusnya yang perlu dititikberatkan ialah pesakit perlu membuat fisioterapi secara berkala di rumah.

"Tujuannya supaya sendi kaki dapat diluruskan bagi membolehkan pemakaian kaki palsu selepas luka pembedahan pemotongan kaki sembuh.

"Selain itu, fisioterapi ini juga membantu untuk menguatkan otot paha dan pinggul.

"Sekiranya pesakit tidak melakukan fisioterapi (sendi kaki tidak dapat diluruskan, otot paha dan pinggul menjadi tidak kuat), peluang mereka berjalan semula menggunakan kaki palsu adalah tipis.

"Ini adalah matlamat rehabilitasi (fisioterapi) untuk memastikan pesakit boleh kembali ke keadaan asal iaitu berjalan," katanya.

Kata Dr Ahmad Mahyuddin, pesakit turut memerlukan sokongan emosi dan sosial daripada keluarga.

Menurutnya, ini elemen penting yang perlu dititikberatkan kerana pesakit yang mendapat sokongan itu menunjukkan potensi kesembuhan yang lebih baik berbanding tanpa sokongan.

"Oleh itu, jangan abaikan ahli keluarga yang sakit, sebaliknya ambil berat dan tunjuk keprihatinan terhadap mereka.

"Sudah pastinya emosi pesakit selepas menjalani proses potong kaki akan terganggu kerana bukan mudah menerima keadaan diri yang kehilangan sebahagian anggota badan," katanya.

Selain itu, kata Dr Ahmad Mahyuddin, ahli keluarga perlu membuat persiapan di rumah sebelum pesakit keluar daripada wad.

PENGGUNAAN kaki palsu supaya pesakit boleh berjalan semula. - FOTO Google
PENGGUNAAN kaki palsu supaya pesakit boleh berjalan semula. - FOTO Google

"Contoh, menyediakan kerusi roda kerana kemudahan ini amat diperlukan untuk memudahkan pesakit bergerak terutamanya ke tandas.

"Sepanjang pesakit berada di rumah, perlu pastikan tiada objek di atas lantai seperti permainan kanak-kanak kerana ia boleh mengganggu pergerakan kerusi roda," katanya.

Kata Dr Ahmad Mahyuddin, katil yang menempatkan pesakit pula perlu dirapatkan ke dinding.

"Ini untuk mengelakkan pesakit terjatuh daripada katil ketika bangun pagi kerana terlupa yang dirinya sudah tiada kaki.

"Sekiranya mereka terjatuh daripada katil, ia boleh menyebabkan luka pecah semula dan keadaan menjadi lebih teruk," katanya.

Jelasnya, kaedah bagi menyasarkan pesakit boleh berjalan menggunakan kaki palsu ialah melalui 'stumb bandaging'.

"Ia dengan cara membalut bahagian kaki yang dipotong supaya bersedia memakai kaki palsu.

"Balut kaki hingga berbentuk seperti 'kon' supaya bahagian berkenaan boleh masuk ke dalam kon itu," katanya.

Beliau berkata, persediaan menjadikan tempat kaki yang dipotong menjadi bentuk kon ada masanya mengambil masa enam minggu hingga empat bulan.

Bagaimanapun, kata Dr Ahmad Mahyuddin, ia bergantung kepada keadaan pesakit terbabit.

"Selepas itu, barulah kita mengukur tempat pemotongan kami bagi menentukan saiz kerana kaki setiap individu adalah berbeza.

"Apabila mendapat saiz yang sesuai dan kaki yang dipotong sudah bersedia dipakaikan kaki palsu, pesakit perlu memastikan mempunyai otot serta jantung yang kuat.

"Ini kerana pesakit memerlukan tenaga apabila berjalan menggunakan kaki palsu," katanya.

Dr Ahmad Mahyuddin berkata, sekiranya pesakit sudah berusia dan mempunyai masalah jantung, doktor akan berbincang dengan pesakit serta ahli keluarga terlebih dahulu.

"Ini untuk memberitahu bahawa kemungkinan pesakit tidak boleh memakai kaki palsu dan sebaliknya menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

"Kita tidak mahu disebabkan pemakaian kaki palsu menyebabkan kesihatan pesakit menjadi lebih merosot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 7:00 AM