GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Petaling Jaya: Hospital ReGen Rehab (ReGen Rehab) di sini, mengambil inisiatif membantu bekas pesakit Covid-19 pulih melalui perkhidmatan tanggungjawab korporat rawatan rehabilitasi pasca-Covid secara percuma.

ReGen Rehab dalam kenyataannya berkata, bekas pesakit Covid-19 yang mengalami masalah pasca wabak itu boleh menghubungi hospital berkenaan untuk mendapatkan khidmat rawatan rehabilitasi bagi memulihkan kesihatan.

"Bekas pesakit Covid-19 akan menerima rawatan rehabilitasi pesakit luar secara percuma bagi membolehkan mereka menerima perkhidmatan kesihatan pakar ReGen Rehab serta kemudahan khasnya.

"Tempoh penyertaan dalam inisiatif ini berlangsung sehingga 30 Jun 2021. Berdasarkan penilaian dan keperluan medikal setiap individu, peserta yang layak akan memulakan rehabilitasi mulai Julai untuk tempoh sehingga tiga bulan," katanya.

Menurutnya, ReGen Rehab ialah hospital rehabilitasi swasta pertama di Malaysia yang berlesen dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Inisiatif ini bertema #KitaPulihBersama untuk mengembalikan keupayaan fizikal dan kualiti kehidupan bekas pesakit Covid-19 ke tahap optimum.

"Dengan pengetahuan bahawa rawatan rehabilitasi adalah elemen penting ke arah pemulihan penuh pesakit yang mengalami kecederaan, pembedahan atau penyakit termasuk Covid-19, ReGen Rehab bersedia membantu dalam perjalanan pemulihan mereka sekali gus membina semula kehidupan," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif itu, ReGen Rehab boleh dihubungi melalui telefon (03-7626 1388), WhatsApp (019-917 1388) atau e-mel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 11:12 PM