MEGAKLINIK Zahran PKRCs di Nilai Lodge Residence, Nilai, Negeri Sembilan.
MEGAKLINIK Zahran PKRCs di Nilai Lodge Residence, Nilai, Negeri Sembilan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MEGAKLINIK Zahran menjadi klinik swasta pertama di negara ini membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRCs) di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Mohd Nafidz Abd Razak berkata, inisiatif ini sebagai usaha membantu kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19.

"Kebelakangan ini, kes jangkitan Covid-19 mencatatkan peningkatan dan ramai pesakit dikuarantin di pusat kuarantin awam hingga menyebabkan berlaku kesesakan di pusat berkenaan.

"Keadaan ini mendorong kami mewujudkan PKRCs bagi membolehkan pesakit menjalani tempoh kuarantin dalam keadaan selesa di bilik persendirian.

"Bilik ini yang dilengkapi kemudahan jaringan internet tanpa wayar (WiFi), makanan, pemantauan doktor dan petugas kesihatan 24 jam dengan harga berpatutan RM150 sehari," katanya.

Beliau berkata, kemudahan seperti ini secara tidak langsung dapat menjaga kesejahteraan mental pesakit.

Mohd Nafidz berkata, PKRCs menempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah iaitu kategori satu dan dua kerana mahu mengurangkan kesesakan di pusat kuarantin awam.

"Ini bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan rawatan khusus kepada pesakit kategori tiga, empat dan lima.

PETUGAS kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas pesakit.
PETUGAS kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas pesakit.

"Pusat ini menyediakan 600 katil untuk menerima pesakit Covid-19 di sekitar negeri itu," katanya.

Katanya, pihaknya turut membuka PKRCs kedua di Royale Chulan, Kuala Lumpur minggu lalu dengan bayaran RM250 sehari.

"Selepas ini, kita akan membuka PKRCs di Johor Bahru, Johor dan Bangi Golf Resort, Selangor.

"Pemilihan empat lokasi terbabit kerana negeri itu mencatatkan kes jangkitan Covid-19 yang tinggi di negara ini.

"Kita juga bersedia untuk membuka PKRCs tambahan jika ada permintaan, namun bergantung kepada situasi semasa kes jangkitan di negara ini," katanya.

Mohd Nafidz berkata, membuka PKRCs swasta bukan tugas yang mudah kerana membabitkan kos yang tinggi, selain perlu menyediakan doktor untuk menyelia pesakit Covid-19.

"Namun atas dasar tanggungjawab bersama, kami mengambil peranan ini untuk membantu kerajaan memutuskan rangkaian Covid-19.

"Klinik ini terbabit melakukan ujian saringan Covid-19 kepada hampir 400,000 individu sejak pandemik menular.

"Daripada ujian saringan itu, ramai didapati positif sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan di negara ini. Ini terjadi (peningkatan kes) apabila individu positif tidak di kuarantin di tempat yang betul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:32 AM