KAJIAN dapati memberus gigi lebih lama, kerap kurangkan risiko penyakit jantung koronari.
KAJIAN dapati memberus gigi lebih lama, kerap kurangkan risiko penyakit jantung koronari.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

DIGALAKKAN memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam iaitu sebelum tidur.

Tujuannya membersihkan sisa makanan dan plak daripada permukaan gigi serta sebagai cara menyapu florida di bahagian gigi bagi mengekalkan kesihatan mulut berpanjangan.

Islam turut menganjurkan umatnya menjadikan aktiviti memberus gigi sebagai rutin harian.

Membersihkan gigi juga adalah sunah Nabi Muhammad SAW dengan cara bersugi menggunakan kayu siwak.

Namun, kajian terkini berjaya membongkar rahsia kebaikan memberus gigi dalam aspek lain terhadap kesihatan.

Kajian itu mendedahkan menjaga kesihatan mulut dan gigi mempunyai kaitan dengan kesihatan jantung atau kardiovaskular.

Pengamal Perubatan Am, Dr Norman Mohd Norawi berkata, hasil kajian menunjukkan perkaitan yang kuat di antara penyakit jantung koronari dengan penyakit periodontal iaitu jangkitan gusi, bengkak gusi dan kerosakan gigi.

Menurut Dr Norman, satu kajian terbaharu dibentangkan kepada 'American Heart Association's Scientific Sessions' di Chicago, Amerika Syarikat.

SUNAH Nabi Muhammad SAW membersihkan gigi menggunakan kayu siwak.
SUNAH Nabi Muhammad SAW membersihkan gigi menggunakan kayu siwak.

"Ia menunjukkan kaitan di antara tabiat individu yang memberus gigi dengan risiko penyakit jantung dan kematian akibat serangan jantung, kegagalan jantung serta angin ahmar.

"Dalam kajian ini, penyelidik melakukan penyelidikan terhadap amalan memberus gigi kepada 682 peserta.

"Selepas membuat penyesuaian dengan faktor lain, ia menunjukkan individu yang memberus gigi kurang daripada dua kali sehari (sekurang-kurangnya dua minit satu sesi) mempunyai risiko tiga kali ganda lebih tinggi mendapat penyakit jantung.

"Ia berbanding dengan individu yang memberus gigi lebih daripada dua kali sehari (sekurang-kurangnya dua minit satu sesi) secara purata," katanya.

Dr Norman berkata, penyelidik dalam kajian ini berpendapat kesihatan mulut (oral) yang buruk mempunyai kaitan dengan tabiat memberus gigi dan risiko penyakit jantung.

"Berkemungkinan memberus gigi dengan lebih lama dan kerap akan membantu kesihatan mulut yang lebih baik.

"Seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung koronari yang lebih serius.

"Ada sebilangan saintis berpendapat, kaitan kebersihan gigi dengan penyakit jantung ialah kerana individu menjaga kesihatan mulut atau oral adalah seseorang yang mengambil berat kesihatan umum lain," katanya.

Dr Norman berkata, bagaimanapun, sebenarnya masalah kesihatan oral mempunyai kaitan dengan faktor keradangan dalam tubuh.

Jelasnya, individu mempunyai kesihatan oral buruk, selalunya mengambil makanan tidak sihat yang boleh merosakkan gigi dan kesihatan tubuh secara umum.

JANGKITAN gigi yang teruk meningkatkan risiko dengan penyakit injap jantung serius.
JANGKITAN gigi yang teruk meningkatkan risiko dengan penyakit injap jantung serius.

"Ini kerana makanan berproses dan tinggi gula juga adalah punca kepada masalah keradangan yang tinggi.

"Kajian menunjukkan individu dengan masalah periodontitis atau keradangan gusi dan gigi mempunyai paras penanda keradangan iaitu 'high-sensitivity C-Reactive Protein' (hsCRP) yang tinggi dalam tubuh," katanya.

Dr Norman berkata, kajian juga menunjukkan masalah jangkitan periodontal adalah berkaitan kerosakan endothelium dalam saluran darah yang akan menyebabkan masalah atherosklerosis iaitu pengerasan saluran darah.

"Kajian lain yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Persatuan Jantung Amerika Syarikat (AHA) iaitu jurnal penyakit darah tinggi menunjukkan penyakit bengkak gusi akan menyebabkan tekanan darah meningkat dan sukar dikawal.

"Bahkan, ia mengganggu kesan ubat antihipertensi. Kajian juga menunjukkan, individu dengan masalah kesihatan mulut yang serius akan meningkatkan risiko mereka dengan penyakit injap jantung menjadi lebih teruk dan mendapat jangkitan kuman pada injap berkenaan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan kajian terbaharu itu, ia memberi 'isyarat' kepada orang ramai supaya tidak mengabaikan penjagaan kesihatan gigi, gusi dan mulut.

"Sikap sambil lewa terhadap kebersihan gigi, gusi dan mulut sebenarnya mengundang risiko penyakit berbahaya.

"Budaya ini perlu diterapkan kepada kanak-kanak supaya ia menjadi amalan apabila meningkat dewasa," katanya.

Dr Norman berkata, cara penjagaan gigi ialah dengan mengamalkan tabiat memberus gigi secara berterusan.

Di samping itu, katanya, hendaklah makan makanan asli seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan mengamalkan pengambilan minyak sihat setiap hari seperti minyak zaitun.

"Perlu mengelakkan pengambilan makanan dan minuman tinggi gula, makanan proses dan makanan segera yang menjadi punca kepada kerosakan gigi serta gusi.

"Lakukan pemeriksaan gigi secara tetap dan teratur dengan doktor gigi untuk menjaga gigi agar sentiasa sihat," katanya.

Menurut beliau, amalan itu turut membolehkan doktor merawat apa sahaja masalah yang berkaitan dengan gigi seperti bengkak gusi, karang gigi, gigi berlubang dan sebagainya pada peringkat awal.

"Amalan penjagaan kesihatan gigi yang baik boleh menyumbang kepada kesihatan umum lebih sempurna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:00 AM