MALAYSIA mencatatkan lebih 3,000 kes kematian akibat Covid-19.
MALAYSIA mencatatkan lebih 3,000 kes kematian akibat Covid-19.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


JUMLAH jangkitan Covid-19 yang ada sehingga lebih 8,000 kes sehari adalah situasi yang membimbangkan, apatah lagi bilangan kematian juga meningkat.

Doktor yang merawat pula terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil unit rawatan intensif (ICU) kepada pesakit mempunyai potensi sembuh lebih tinggi.

'Desakan' ini memperlihatkan betapa pentingnya memperhebatkan aktiviti pemberian vaksin Covid-19 supaya mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, di negara seperti United Kingdom, lebih 50 peratus penduduk sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Menurutnya, ini memperlihatkan kadar jangkitan menurun dan kadar kematian dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas, juga menunjukkan penurunan yang memberangsangkan.

"Namun, stok vaksin dunia adalah terhad dan seluruh dunia bersaing untuk memperoleh vaksin.

"Difahamkan, ada negara yang kaya sanggup membayar harga tinggi supaya mereka terlebih dahulu mendapat bekalan vaksin.

ORANG ramai perlu mendaftar permohonan suntikan vaksin supaya imuniti kelompok dapat dicapai.
ORANG ramai perlu mendaftar permohonan suntikan vaksin supaya imuniti kelompok dapat dicapai.

"Malah, mereka juga membeli vaksin dengan jumlah yang banyak, berlipat kali ganda daripada bilangan penduduk negara terbabit," katanya.

Dr Mohd Dzulkhairi berkata, bekalan vaksin Covid-19 di negara ini diterima dalam beberapa fasa dan kerajaan mempunyai peruntukan untuk mendapatkannya.

"Namun, jumlah pendaftaran dan ketidakhadiran individu yang diberikan janji temu amat mengecewakan.

"Individu yang tidak hadir setelah diberikan janji temu menyumbang kepada pembaziran dan melakukan pengkhianatan.

"Ini kerana peluang itu boleh diberikan kepada individu lain sekiranya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dimaklumkan akan ketidakhadirannya," katanya.

Selain itu, kata Dr Mohd Dzulkhairi, ia juga membantutkan usaha kerajaan untuk memberikan perkhidmatan vaksinasi yang optimum.

"Semakan di http://www.vaksincovid.gov.my pada 30 Mei lalu mendapati peratusan pendaftaran tertinggi dicatatkan ialah di Putrajaya iaitu 100 peratus diikuti Selangor (66.08 peratus).

"Kelantan di tempat kedua terbawah yang mencatatkan (33.4 peratus) dan pendaftaran terendah dalam kalangan penduduk ialah di Sabah dengan hanya (18.70 peratus)," katanya.

Jelas Dr Mohd Dzulkhairi, pemberian vaksin boleh dipercepatkan sekiranya PPV ditambah.

Ketika ramai kakitangan awam bekerja di rumah, mereka boleh menggembleng tenaga membantu kerajaan dalam proses pemberian vaksin ini.

ORANG ramai menunggu giliran menerima suntikan vaksin Covid.
ORANG ramai menunggu giliran menerima suntikan vaksin Covid.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal, Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, banyak negara sudah melaksanakan sistem pandu lalu bagi pemberian vaksin.

"Difahamkan, sistem ini sudah menjalani ujian rintis dan akan diperkenalkan bagi melicinkan proses pemberian vaksin.

"Selain dapat mengekalkan penjarakan fizikal kerana berada dalam kenderaan masing-masing, warga emas dan golongan orang kurang upaya fizikal berpeluang memanfaatkan kaedah ini.

"Selepas pemberian vaksin, penerima akan dipantau oleh kakitangan kesihatan di parkir kenderaan berhampiran sementara mereka kekal dalam kenderaan," katanya.

Dr Nurul Azmawati berkata, pihaknya turut mendapati hanya beberapa klinik swasta tersenarai sebagai PPV di laman web rasmi Jawatankuasa khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKAV).

Kata Dr Nurul Azmawati, walaupun vaksin diberikan oleh kerajaan mahupun swasta, sistem sijil pendaftaran vaksin yang berpusat dan sama untuk semua seperti pendaftaran kelahiran berpusat oleh Jabatan Pendaftaran adalah perlu.

"Bagi mereka yang mendapat vaksin di luar negara, sijil vaksin dikeluarkan di negara terbabit hendaklah mendapat pengiktirafan Malaysia melalui Kedutaan Malaysia di sana atau Kementerian Luar.

"Ini bagi menjamin ketelusan maklumat dan keseragaman pendaftaran bagi mereka yang sudah menerima vaksin Covid-19.

"Pembabitan semua pihak adalah perlu bagi mempercepatkan aktiviti pemberian vaksin supaya ramai dapat dilindungi dalam masa yang cepat.

"Vaksin dan fasiliti yang cukup belum boleh memastikan imuniti kelompok dapat dicapai sekiranya mentaliti masyarakat masih tidak berubah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:30 AM