Nor ‘Asyikin Mat Hayin


TERAPI bunga atau terapi pati ialah satu daripada rawatan alternatif dan komplementari (CAM).

Dipercayai pati bunga mempunyai 'tenaga' getaran untuk penyembuhan.

Pati bunga moden dihasilkan oleh doktor perubatan British, Edward Bach pada 1930-an yang berpendapat, tenaga daripada pati bunga boleh menyeimbangkan emosi.

Edward juga percaya tenaga pati bunga boleh memberikan kesejahteraan kepada mental, fizikal dan rohani.

Terdapat beberapa bukti menunjukkan terapi bunga boleh membantu mengurangkan kegelisahan dan kesakitan.

Selain itu, ia dipercayai dapat meningkat sistem imun badan, mengurangkan kemurungan dan pelbagai gangguan psikologi.

Walaupun penyelidikan saintifik terhadap pati bunga masih kurang dilakukan, terdapat beberapa penemuan mengenai potensi kebaikan pati bunga terhadap manusia.

PATI bunga memberikan kesejahteraan kepada mental, fizikal dan rohani.
PATI bunga memberikan kesejahteraan kepada mental, fizikal dan rohani.

i. Pati bunga untuk masalah kebimbangan

Pati bunga memberi manfaat kepada masalah kebimbangan.

Kajian pada 2020 mendapati terapi bunga boleh mengurangkan kebimbangan kanak-kanak apabila berjumpa doktor gigi.

Satu laporan kes pada 2017 menunjukkan, rawatan pati bunga mengurangkan kebimbangan dalam kalangan wanita yang menopaus.

Kajian pada 2018 pula menjelaskan, pati bunga memberikan tenaga yang dapat menyeimbangkan emosi.

Bagaimanapun, kajian itu gagal menyatakan secara terperinci bagaimana tenaga bunga ini berfungsi dan tiada bukti saintifik menyokong kewujudan tenaga berkenaan.

ii. Pati bunga untuk kesakitan

Dalam kajian pada 2017, rawatan pati bunga dilaporkan boleh menghilangkan kesakitan berkaitan sindrom terowong karpus.

Peserta kajian menyapu krim pati bunga di bahagian yang bermasalah.

Berdasarkan kajian itu, pati bunga mempunyai ciri-ciri biologi membantu melegakan rasa kebas.

Kajian memberikan penjelasan saintifik yang kukuh.

Satu kajian lama pada 2008 mendapati rawatan pati bunga melegakan kesakitan.

Menurut penyelidik, terapi pati bunga membantu peserta memberikan fokus terhadap kesihatan mental berbanding fizikal.

Secara teorinya, jika pati bunga boleh mengurangkan kegelisahan, ia mungkin mempunyai manfaat untuk kesakitan.

Risiko dan kemungkinan kesan sampingan

Oleh kerana pati bunga adalah larutan yang dicairkan, ia biasanya dianggap selamat. Namun, seperti ubat yang lain, pati bunga masih boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini.

Kesan yang mungkin dialami pesakit seperti ruam kulit, keletihan dan sakit kepala tetapi, kesannya boleh hilang dalam masa 11 hari.

Kebanyakan pati bunga mengandungi alkohol dalam jumlah yang sedikit dan ia selamat digunakan wanita hamil atau menyusukan anak.

Cara menggunakan pati bunga

i. Mulut

Meletakkan cecair pati bunga ini sama ada di atas atau bawah lidah.

ii. Kulit

Sebahagian krim kulit dibuat dengan pati bunga. Lazimnya produk ini mengandungi bahan yang bermanfaat untuk kulit. Sapukan krim ini pada kulit seperti krim kulit yang lain. Jika untuk merawat kesakitan, boleh menyapunya di bahagian tertentu.

Selain itu, juga terdapat garam pati bunga yang digunakan ketika mandi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 6:17 AM