PESAKIT Covid-19 diberikan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Maeps.
PESAKIT Covid-19 diberikan rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Maeps.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KULIT muka berubah menjadi gelap. Itu antara kesan yang dialami sebilangan kecil pesakit Covid-19 selepas pulih daripada jangkitan berkenaan.

Pastinya keadaan dialami pesakit menimbulkan tanda tanya, bagaimana masalah ini boleh terjadi memandangkan kesan jangkitan seperti itu 'tidak popular' berbanding kesan yang lain.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, perubahan warna kulit dialami pesakit dikenali sebagai hiperpigmentasi yang terjadi disebabkan beberapa faktor.

Menurutnya, antaranya ia disebabkan oleh kesan kerosakan hati akibat virus Covid-19 yang menyerang organ berkenaan.

"Hati diperlukan untuk membuang hasil kumuhan pada badan termasuk menyingkirkan toksik.

"Malah hiperpigmentasi juga berpunca daripada beberapa jenis ubat yang digunakan merawat penyakit yang berasosiasi (berkaitan) dengan komplikasi Covid-19 seperti 'Polymyxin B'," katanya.

Beliau berkata, warna kulit berpigmentasi (hitam) berkemungkinan menandakan masalah keradangan hati yang teruk dan berpotensi berubah menjadi lebih teruk.

"Tetapi ada juga pesakit yang pulih sepenuhnya dan pigmentasi kulit turut hilang apabila fungsi hati kembali sihat," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, dua doktor perubatan di Wuhan, China dijangkiti Covid-19 turut mengalami kesan komplikasi rawatan jangkitan berkenaan dan masalah keradangan hati.

Katanya, ini menyebabkan warna kulit doktor terbabit berubah menjadi gelap.

WAJAH dua doktor China yang berubah warna selepas pulih Covid-19. - FOTO Google
WAJAH dua doktor China yang berubah warna selepas pulih Covid-19. - FOTO Google

Bagaimanapun, kulit doktor itu bertukar ke warna asal apabila mereka sembuh daripada jangkitan.

"Dalam jangkitan Covid-19 itu sendiri, kulit boleh memanifestasi dengan pelbagai kemerahan dan erupsi (lesi kulit) yang menyebabkan kegatalan.

"Berdasarkan 'British Journal of Dermatology' dan 'American Academy of Dermatology', bentuk lesi kulit boleh berlaku.

"Ini termasuk ruam, melepuh, lesi di hujung jari kaki (Covid toes) yang berubah kemerahan. Ia terjadi akibat keradangan dan penyumbatan salur darah," katanya.

Dr Sharifa Ezat berkata, keterukan lesi yang timbul boleh dikaitkan dengan seriusnya jangkitan Covid-19 dan ia masih boleh berlaku walaupun pada jangkitan yang ringan.

"Ini hanya menunjukkan reaksi badan melawan virus. Lepuh atau ruam kemerahan mungkin sukar dikesan dalam kalangan individu berkulit gelap.

"Jika masalah ini terjadi dalam kalangan kanak-kanak, ruam dan lepuh boleh menyerupai penyakit Kawasaki.

"Oleh itu, jangan mengambil mudah jika perkara terjadi dan segera menjalani pemeriksaan doktor untuk mengenal pasti masalah sebenar, bagi mengelakkan keadaan yang lebih teruk," katanya.

Menurut Dr Sharifa Ezat, berdasarkan satu kajian di Itali yang membabitkan 88 pesakit Covid-19, ia menunjukkan, 20 peratus mempunyai kesan jangkitan seperti sedikit ruam, terdapat lesi kulit ketika mula masuk wad dengan jangkitan (lapan peratus) serta terbentuk ruam kulit setelah masuk ke wad (10 orang).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 6:28 AM