AMBIL minuman panas pada waktu pagi dan sebelum tidur.
AMBIL minuman panas pada waktu pagi dan sebelum tidur.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


KEPERLUAN terhadap air minuman sama ada sejuk, suam atau panas adalah penting bagi memastikan tubuh kekal sihat serta terhidrat.

Ada yang mengatakan air minuman panas membantu meningkatkan pencernaan, melegakan pengumpulan cecair berlebihan dalam tubuh dan memberikan ketenangan berbanding minuman air sejuk.

Kebanyakan kelebihan air minuman panas ini adalah berdasarkan laporan anekdot (ringkas) kerana tidak banyak kajian saintifik mengenainya.

Bagaimanapun, ramai yang sudah merasai manfaat pengambilan air minuman panas ini terutama pada waktu pagi atau sebelum tidur.

Kajian menyarankan, suhu optimum untuk air minuman panas ialah di antara 54 hingga 71 darjah Celsius.

Suhu yang lebih tinggi boleh menyebabkan kesan melecur pada mulut.

TAMBAH perahan lemon dalam air panas untuk khasiat vitamin C.
TAMBAH perahan lemon dalam air panas untuk khasiat vitamin C.

Kebaikan air minuman panas:

1. Melegakan hidung tersumbat

Memegang secawan air panas dan menyedut wap pada air berkenaan sebelum minum dapat membantu melegakan masalah hidung tersumbat dan sakit kepala akibat resdung.

Ini disebabkan terdapat pengumpulan lendir pada rongga sinus dan tekak.

Air minuman panas menghangatkan kawasan ini dan mencairkan pengumpulan lendir berkenaan.

Satu kajian pada 2008 mendapati, minuman panas seperti air teh dapat memberikan kelegaan yang cepat pada hidung berair, batuk, sakit tekak dan keletihan.

Minuman air panas lebih berkesan berbanding air minuman pada suhu bilik.

2. Membantu penghadaman

Pengambilan air yang mencukupi membantu sistem pencernaan menjadi lebih lancar dan seterusnya memudahkan proses membuang najis.

Ada yang mempercayai minuman air panas sangat berkesan untuk mengaktifkan sistem pencernaan.

Teorinya ialah, air minuman panas boleh melarut dan 'menghilangkan' makanan dimakan yang mungkin sukar untuk dihadamkan.

Namun, lebih banyak kajian diperlukan untuk membuktikan kebenaran ini, walaupun kajian pada 2016 menunjukkan air suam mempunyai kesan yang terhadap pergerakan usus dan pengeluaran gas selepas pembedahan.

3. Meningkatkan fungsi sistem saraf pusat

Tidak mengambil air minuman sama ada panas, sejuk atau suam boleh memberikan kesan negatif terhadap fungsi sistem saraf, yang akhirnya mempengaruhi mood serta fungsi otak.

Penyelidikan pada 2019 menunjukkan bahawa air minuman dapat meningkatkan aktiviti sistem saraf pusat dan mood.

Penyelidikan ini juga mendapati air minuman meningkatkan keupayaan otak peserta semasa melakukan aktiviti yang memerlukan dan mengurangkan kegelisahan diri.

4. Membantu mengatasi sembelit

Dehidrasi adalah penyebab sembelit dan pengambilan air minuman yang mencukupi dapat mengatasi masalah berkenaan. Minum air panas secara berkala membantu menjaga pergerakan usus secara tetap.

5. Kekal terhidrat

Minum air pada suhu apa pun boleh membantu tubuh kekal terhidrat. Institusi perubatan mengesyorkan wanita mengambil 2.3 liter air dan lelaki 3.3 liter air sehari.

Ini tidak termasuk sumber air daripada makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Bagaimanapun, pengambilan air minuman perlu lebih banyak bagi wanita menyusukan anak atau mereka yang melakukan aktiviti berat.

Tubuh memerlukan air yang mencukupi untuk menjalankan fungsi penting badan setiap hari.

Cuba memulakan hari dengan hidangan air minuman panas dan berakhir dengan minuman berkenaan untuk merasai keberkesanannya.

6. Mengurangkan rasa menggigil ketika sejuk

Kajian pada 2017 menunjukkan tindak balas tubuh terhadap persekitaran sejuk menyebabkan badan menggigil.

Oleh itu, minum air panas membantu mengurangkan rasa menggigil berkenaan.

Penyelidik mendapati minum air panas dengan cepat membantu individu mengurangkan usahanya untuk mengekalkan suhu badan supaya tidak menggigil.

7. Memperbaiki peredaran darah

Aliran darah yang sihat akan mempengaruhi keadaan tubuh daripada tekanan darah hingga kepada risiko penyakit kardiovaskular.

Mandi air suam membantu peredaran darah apabila arteri dan urat akan mengembang serta membawa darah lebih berkesan ke seluruh tubuh. Kajian mendapati minuman air panas turut memberikan kesan yang serupa.

Kelebihan lain minuman air panas atau mandi air panas waktu malam membantu mendapatkan tidur lebih mudah dan lena.

8. Boleh menurunkan tahap tekanan

Minuman air panas membantu meningkatkan fungsi sistem saraf pusat dan membuatkan berasa kurang cemas jika mengambil secukupnya. Satu kajian pada 2014 mendapati pengambilan air minuman tidak mencukupi menyebabkan perasaan tenang dan emosi positif berkurangan.

Oleh itu, kekal terhidrasi dapat meningkatkan tahap mood dan ketenangan.

9. Membantu sistem detosifikasi tubuh

Meskipun tiada bukti sahih mengenai kelebihan khusus ini, tetapi kajian pada 2020 mendapati minum banyak air dapat membantu melindungi buah pinggang dan mencairkan sisa buangan dalam darah.

Berdasarkan 'Arthritis Foundation', minum air adalah penting untuk membantu tubuh melawan keradangan, menjaga pelincir sendi dalam keadaan baik dan mencegah gout.

10. Membantu melegakan gejala akalasia

Akalasia ialah keadaan esophagus sukar memindahkan makanan ke perut.

Ini menyebabkan pesakit mengalami kesukaran menelan dan berasakan makanan seperti tersekat di kerongkong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 6:40 AM