DISARAN melakukan aktiviti berjalan laju 30 minit setiap hari.
DISARAN melakukan aktiviti berjalan laju 30 minit setiap hari.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


INDIVIDU aktif bersukan lebih cenderung memilih aktiviti lasak seperti mendaki bukit, gunung, larian maraton atau berbasikal.

Aktiviti itu dianggap lebih memberikan kepuasan dan mencabar kemampuan untuk memantapkan kesihatan fizikal.

Dek populariti aktiviti ini hinggakan ada yang menubuhkan kumpulan untuk melakukan aktiviti berkenaan secara berkumpulan.

Namun, jangan pandang rendah aktiviti senaman berjalan laju (brisk walking) kerana ia juga boleh memberikan manfaat kesihatan yang optimum kepada tubuh.

Berjalan laju ialah satu daripada senaman kardio yang paling mudah dan berkesan.

Tidak seperti senaman lain, berjalan laju lebih selamat kerana risiko kecederaan rendah selain dianggap aktiviti berkos rendah.

Hanya dengan memakai kasut dan pakaian sukan bersesuaian, aktiviti ini boleh dilakukan sama ada di dalam atau luar rumah.

Berjalan laju adalah contoh aktiviti aerobik intensiti sederhana.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mendefinisikan aerobik intensiti sederhana ialah sebarang aktiviti yang mengeluarkan peluh dan meningkatkan degupan jantung.

Bahkan, mereka yang sedang melakukan aktiviti itu (aerobik intensiti sederhana) masih boleh bercakap, tetapi bukan menyanyi.

Peraturan berjalan laju ialah pergerakan pada kelajuan maksimum 4.5 meter per jam (mph).

Setiap individu disarankan melakukan aktiviti berjalan laju sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

Mereka yang mengamalkan berjalan laju atau meningkatkan tahap aktiviti fizikal seharian akan memperoleh pelbagai manfaat kesihatan.

Ia termasuk mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis dan beberapa jenis barah seperti pundi kencing, payudara serta usus besar.

Satu laporan kesihatan pada 2017 mendedahkan, berjalan laju dapat memberikan kesan positif terhadap kesihatan dan satu cara mudah membantu individu meningkatkan aktiviti fizikal.

Satu lagi kajian pada 2018 terhadap 50,000 pejalan kaki dan penyelidik menyimpulkan bahawa terdapat kemungkinan berjalan laju boleh merendahkan risiko kematian disebabkan penyakit kardiovaskular berbanding berjalan perlahan.

Selain itu, berjalan laju juga dikaitkan dapat memberikan manfaat terhadap kesihatan otak.

Ini dibuktikan dalam satu kajian yang menunjukkan berjalan dua kali seminggu, selama enam bulan akan meningkatkan jumlah hipokampus dalam kalangan wanita berusia yang cenderung mengalami gangguan kognitif ringan.

Bagaimanapun, penyelidik perlu melakukan banyak kajian untuk menyokong penemuan itu.

PILIH kasut sukan yang bersesuaian untuk keselesaan berjalan laju.
PILIH kasut sukan yang bersesuaian untuk keselesaan berjalan laju.

A. Berjalan laju membantu menurunkan berat badan?

Berdasarkan laporan pada 2017, berjalan laju selama 10 minit setiap hari membantu individu tidak aktif mencapai berat badan yang sederhana.

Laporan ini mendefinisikan 'tidak aktif' ini ialah melakukan aktiviti intensiti sederhana kurang daripada 30 minit seminggu.

Bagaimanapun, berjalan laju tidak membantu menurunkan berat badan.

Jika individu mempunyai sasaran ke arah itu, mereka perlu mempertimbangkan pilihan diet dan pengambilan kalori harian.

Untuk mengekalkan berat badan yang sederhana, individu perlu menyeimbangkan pengambilan kalori makanan dengan aktiviti fizikal dilakukan setiap hari.

B. Kalori dibakar dengan berjalan pantas?

Kalori yang terbakar daripada aktiviti ini adalah berbeza, bergantung kepada berat badan individu dan faktor lain.

Contoh, individu yang memiliki berat badan 70 kilogram (kg), jumlah kalori dibakar adalah berdasarkan aktiviti dilakukan.

Berjalan dengan kelajuan 3.5 mph dapat membakar 280 kalori, manakala larian atau jogging (membakar 590 kalori) dan berenang (membakar 510 kalori).

C. Bagaimana berjalan pantas dibandingkan dengan larian dan joging?

Terdapat banyak manfaat melakukan senaman aerobik intensiti sederhana seperti berjalan pantas selama 30 minit setiap hari.

Antaranya ialah mengurangkan kegelisahan, penyakit kencing manis jenis dua, masalah kardiovaskular dan membantu tidur dengan lebih mudah.

Joging membakar lebih banyak kalori daripada berjalan pantas, tetapi tidak mungkin boleh dicapai segera oleh individu yang mempunyai berat badan berlebihan.

Sebaliknya, ia perlu dijadikan sebagai latihan rutin.

Jika individu ingin memulakan aktiviti aerobik yang lebih agresif, mereka boleh memulakan dengan berjalan pantas sebelum beralih kepada larian dan joging.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:20 AM