MENYANYI boleh bantu atasi kesakitan emosi.
MENYANYI boleh bantu atasi kesakitan emosi.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAMAI suka menyanyi dan menjadikan aktiviti itu hobi walaupun teknik nyanyiannya hanya pada tahap biasa.

Ini kerana mereka berasakan menyanyi mampu memberi aura positif terhadap diri terutama kepada kesihatan.

Terdapat bukti saintifik membuktikan nyanyian adalah terapi kepada tubuh dan kesihatan mental.

1. Mengurangkan tekanan

Satu kajian dijalankan pada 2017 bagi mengukur jumlah hormon kortisol dan tekanan dalam air liur individu, sebelum dan selepas menyanyi.

Penyelidik mendapati jumlah hormon kortisol menjadi lebih rendah selepas menyanyi. Ini menunjukkan individu berkenaan lebih tenang berbanding sebelum menyanyi.

Kajian itu juga mendedahkan menyanyi dapat menurunkan tahap tekanan.

Bagaimanapun, paras hormon kortisol hanya akan menurun jika menyanyi di tempat yang tidak membuatkan seseorang cemas.

2. Merangsang tindak balas imun

Terdapat beberapa bukti menunjukkan menyanyi boleh meningkatkan sistem imun dan mencegah penyakit.

Pada 2004, satu kajian dijalankan sebagai perbandingan di antara kesan menyanyi dengan mendengar muzik.

Mereka yang menyanyi menunjukkan tahap immunoglobulin A (kumpulan protein berkebolehan bertindak sebagai antibodi) yang dirembeskan badan adalah lebih tinggi bagi menentang jangkitan.

Mendengar muzik tanpa menyanyi pula boleh mengurangkan hormon tekanan, tetapi tidak merangsang sistem ketahanan badan.

3. Meningkatkan fungsi paru-paru

Ini kerana menyanyi membabitkan pernafasan dalam dan penggunaan otot terkawal pada sistem pernafasan.

Ia berkemungkinan memberi manfaat kepada paru-paru dan pernafasan.

Kajian menunjukkan teknik pernafasan digunakan semasa menyanyi dapat memberikan manfaat kepada individu yang menghidap penyakit:

i. Penyakit sekatan pulmonari kronik (OCPD)

ii. Asma

iii. Fibrosis sista

iv. Barah

v. Sklerosis pelbagai

vi. Kuadriplegia (lumpuh seluruh badan kecuali kepala dan leher)

Walaupun menyanyi tidak dapat merawat atau menyembuhkan penyakit itu, ia mungkin boleh memberi manfaat daripada segi kekuatan otot pernafasan.

Menyanyi turut meningkatkan jumlah oksigen dalam darah, mood dan perhubungan sosial menjadi lebih baik.

4. Meningkatkan daya ingatan penghidap demensia

Pesakit demensia mengalami masalah kehilangan ingatan secara perlahan-lahan.

Kajian menunjukkan, pesakit ini dapat mengingati lirik dengan mudah berbanding perkataan.

5. Membantu mengurangkan kesedihan

Menyanyi dalam kumpulan tidak hanya mengurangkan kesakitan fizikal, tetapi juga membantu mengatasi kesakitan emosi selepas kehilangan orang tersayang.

Satu kajian pada 2009 yang dijalankan ke atas individu yang dalam kesedihan mendapati menyanyi dapat mengurangkan tahap perasaan itu.

Oleh itu, penyelidik menyimpulkan bahawa menyanyi berkumpulan, mungkin pilihan yang baik bagi individu yang memerlukan sokongan tambahan ketika sedang berduka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 6:17 AM