Nor 'Asyikin Mat Hayin


"SAYA sudah mengubah diet dengan mengamalkan pemakanan seimbang selain beralih kepada produk mandian dan penjagaan kulit yang lebih lembut.

"Namun, masalah kegatalan kulit masih tidak hilang, bahkan ruam kemerahan akan muncul di bahagian ketiak dan pinggang setiap kali selepas menggunakan produk ini," kata Farah Razak, 30.

Farah menderita masalah kulit sejak berusia 15 tahun dan buntu dengan masalah terbabit.

Katanya, masalah kulit dialami ada kala mengganggu rutin hariannya.

"Keadaan kulit saya menjadi lebih teruk ketika cuaca panas kerana berpeluh menyebabkan badan mudah gatal dan bintik kemerahan timbul pada kulit.

"Sebagai alternatif, saya menyapu ubat bagi meredakan kegatalan. Bagaimanapun, ia hanya sementara dan rasa gatal akan berulang lagi.

"Ada kalanya saya tidak dapat mengelak daripada menggaru bahagian yang gatal hingga terluka," katanya.

Pakar Penjagaan Kulit Ko Skin Specialist, Dr Chong Wai Seng berkata, masalah dialami Farah berkemungkinan kerana alahan kepada pencuci pakaian.

Dr Chong berkata, pendedahan kepada bahan tidak sesuai dengan kulit iaitu alergen yang terdapat dalam pencuci pakaian boleh mencetuskan alahan.

ALERGEN dalam  pencuci pakaian boleh mencetuskan alahan.
ALERGEN dalam pencuci pakaian boleh mencetuskan alahan.

"Mungkin sisa bahan alergen ini masih tertinggal pada pakaian walaupun sudah dibilas.

"Alahan terhadap bahan pencuci pakaian boleh terjadi ketika kali pertama atau pendedahan berulang kali terhadap alergen ini," katanya.

Menurutnya, antara bahan perengsa lain yang terkandung dalam produk pencuci pakaian ialah sodium lauryal sulfat (SLS), paraben, triclosan dan metilisotiazolinon.

Jelas Dr Chong, bahan itu adalah surfaktan (bahan aktif permukaan menghasilkan buih) yang biasanya ditemui dalam produk pencuci pakaian.

"Sisa bahan ini masih terperangkap dalam pakaian mungkin boleh menyebabkan ruam kepada individu mempunyai masalah kulit sensitif.

"Terutama mereka yang mempunyai sejarah dermatitis atopik (sejenis ekzema) atau lapisan permukaan kulit terjejas disebabkan kerap mencuci tangan dan tabiat mandi ketika penularan pandemik Covid-19," katanya.

Dr Chong berkata, sebagai langkah pencegahan awal, mereka perlu meneliti kandungan bahan di dalam pencuci pakaian dan beralih kepada jenis yang mesra kulit.

"Bilas pakaian hingga bersih bagi memastikan tiada bahan perengsa yang tertinggal pada pakaian," katanya.

Sementara itu pengasas Oxwhite, CK Chang berkata, produk pencuci pakaian menggunakan bahan lebih mesra kulit boleh dihasilkan, tetapi kosnya 10 kali ganda lebih tinggi berbanding produk biasa dalam pasaran.

"Secara tidak langsung, ia akan mempengaruhi harga produk berkenaan yang menjadi lebih mahal.

"SLS adalah bahan kimia berkesan menghapuskan kotoran degil seperti kesan tanah dan minyak yang melekat pada pakaian," katanya.

Menurutnya, paraben dan metilisotiazolinon adalah bahan pengawet untuk mencegah pertumbuhan mikroorganisma bagi memanjangkan jangka hayat produk manakala triclosan berfungsi sebagai pembasmi kuman.

"Pendedahan bahan ini secara berlebihan akan memberi kesan buruk kepada lapisan permukaan kulit.

"Dalam menghasilkan pencuci pakaian yang lebih lembut dan mesra kulit, amat penting untuk memastikan bahan alternatif digunakan, mempunyai kesan pembersihan sama bagus seperti bahan konvensional berasaskan kimia," katanya.

Kata Chang, Oxwhite mengambil inisiatif menghasilkan produk berasaskan tumbuhan yang dipercayai lebih lembut seperti 'decyl glucoside' (surfaktan semulajadi), minyak pokok teh (disinfektan semulajadi) dan Sodium Benzoate (pengawet semula jadi) sejak daripada awal penghasilan.

"Walaupun kos pengeluarannya tinggi, kami berjaya meletakkan harganya hampir sama dengan pencuci pakaian lain yang terdapat di pasaran dan menjual bahan pencuci di atas talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:30 AM