IMEJ sinar-X menunjukkan tulang patah.
IMEJ sinar-X menunjukkan tulang patah.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


IMPLAN atau kerangka besi menjadi 'peralatan' penting dalam prosedur rawatan bagi memulihkan kembali struktur tulang patah selepas terbabit kemalangan.

Namun, timbul persoalan dalam kalangan pesakit yang ingin mengetahui mengapa dan bila waktu sesuai untuk mengeluarkan kerangka besi yang dipasang pada anggota badan mereka yang cedera?

Pakar Ortopedik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed berkata, terdapat lima situasi yang membolehkan kerangka besi dikeluarkan.

Pertama ialah apabila kepatahan tulang berlaku pada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

"Dalam pembedahan penyambungan tulang, pakar ortopedik akan meletakkan kerangka besi dalam tulang atau dipasang di luar anggota badan.

"Kerangka besi yang dimasukkan ini bukan untuk mencantumkan tulang patah, tetapi sebenarnya bagi membolehkan anggota cedera itu (patah) bercantum dalam keadaan betul dan lurus.

"Bagi pesakit yang enggan memasukkan kerangka besi dan memilih kaedah rawatan tradisional, terdapat risiko kepatahan tidak akan bercantum dengan sempurna.

"Sebaliknya, tulang paha contohnya, akan bercantum secara berselisih disebabkan tarikan otot yang kuat dan kesannya menyebabkan kaki menjadi pendek," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh setahun atau satu setengah tahun, pesakit dicadangkan mengeluarkan kerangka besi berkenaan.

"Biasanya bagi kanak-kanak, bahagian tangan, tulang tangan, radius ulna atau tulang di bahu yang dimasukkan besi mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk bercantum.

"Tulang paha atau betis pula lebih lama untuk bercantum iaitu empat hingga lima bulan," katanya.

Dr Ahmad Mahyuddin berkata, kerangka besi ini perlu keluarkan kerana tulang kanak-kanak masih boleh memanjang dan membesar.

"Jika tidak dibuang, ada kemungkinan tulang baharu akan tumbuh menyelaputi tulang yang dipasang kerangka besi berkenaan.

"Ini bagi mengelakkan kesukaran merawat jika terjadinya kepatahan tulang ulangan disebabkan ada kerangka besi itu," katanya.

Menurut beliau, bagi kepatahan membabitkan golongan berusia 18 tahun ke atas, kerangka besi ini tidak perlu dikeluarkan dan ia boleh dibiarkan kekal sampai bila-bila.

Menurutnya, keadaan kedua ialah apabila kerangka besi mengganggu pergerakan, contohnya kedudukan kerangka itu terlalu hampir dengan sendi.

"Keadaan seterusnya ialah jika kerangka besi yang dipasang itu agak ketara, membuatkan pesakit berasa kurang selesa dan boleh merasai kewujudan besi berkenaan di bawah kulit disebabkan fizikal terlalu kurus.

"Kita akan keluarkan kerangka besi ini selepas tulang bercantum," katanya.

Dr Ahmad Mahyuddin berkata, pakar ortopedik juga akan mengeluarkan kerangka besi ini atas permintaan pesakit.

Bagaimanapun, proses ini hanya akan dilakukan setelah setahun atau satu setengah tahun selepas pesakit menjalani pembedahan memasang kerangka itu dan sekiranya kepatahan sudah bercantum sepenuhnya.

Katanya, keadaan terakhir kerangka besi boleh dikeluarkan ialah disebabkan jangkitan kuman dan ia jarang berlaku dengan risiko jangkitan hanya satu peratus.

"Apabila berlaku jangkitan kuman, tetapi kita masih tidak membuang kerangka besi ini, ia akan memudahkan kuman masuk menerusi kerangka itu, skru dan boleh melemahkan tulang.

"Keadaan ini panggil osteomyelitis iaitu jangkitan pada tulang.

"Dalam keadaan seperti ini, pastikan jangkitan kuman berjaya diatasi melalui cara keluarkan kerangka besi, bersihkan kawasan dijangkiti kuman dan beri antibiotik untuk membunuh sisa kuman. Seterusnya kepatahan akan bercantum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 6:30 AM